PETALING JAYA: Perbuatan membungkus semula minyak masak peket subsidi dipercayai punca utama bekalannya semakin berkurangan dalam pasaran sehingga menimbulkan kemarahan rakyat yang terhimpit dengan kos sara hidup tinggi.
Sumber dari Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) memberitahu, sindiket mula ligat mencari keuntungan berganda termasuk membotolkan minyak masak peket sebelum dijual dengan harga tanpa subsidi.
“Sindiket yang buat kerja ini dipercayai melibatkan syarikat-syarikat membungkus minyak masak bersubsidi selepas manipulasi tuntutan daripada kerajaan.
“Isu diseludup ke negara jiran masalah lama dan dalam tempoh tersebut tidak ada bekalan terputus sekerap kebelakangan ini.
“Justeru, kita syak antara punca membawa kepada kekurangan minyak masak peket disebabkan pembungkusan semula oleh sindiket,” kata sumber itu.
Masalah terputus bekalan minyak masak peket bermula apabila harga sawit meningkat dan diburukkan lagi apabila kerajaan memansuhkan subsidi minyak dalam botol bermula 1 Julai lalu.
Kata sumber tersebut, pembungkusan semula dengan pelbagai jenama itu mungkin untuk botol tiga kilogram (kg) dan 5kg.
Memanipulasikan
Bagaimanapun, terdapat segelintir sindiket pembungkusan semula dikesan memanipulasikan dokumen invois dengan membuat tuntutan palsu mendapat minyak masak subsidi tetapi tidak menjualnya kepada orang ramai.
“Setiap pemilik syarikat perlu membuat tuntutan KPDNHEP dan membuktikan kuota subsidi itu telah habis digunakan walhal ia diseleweng. Untung yang dikutip sudah tentu puluhan juta,” kata sumber.
Dalam pada itu, sumber itu berkata, ketirisan berkaitan minyak masak bersubsidi itu juga disumbang oleh aktiviti sindiket menyeludup ke negara jiran.
Jelasnya, sindiket sanggup menyeludup ke negara jiran terutama Thailand kerana untung diperoleh lebih sekali ganda.
“Walaupun puluhan syarikat pembungkus telah diambil tindakan oleh KPDNHEP namun masih ada sindiket terus cuba seleweng,” kata sumber itu.
Dalam pada itu, satu sumber lain dalam penguatkuasaan KPDNHEP pula berkata, kuota 60,000 tan metrik minyak masak bersubsidi setiap bulan diperuntuk kerajaan mencukupi jika tiada ketirisan dalam apa-apa bentuk.
Kuota
Menurut sumber itu, hal ini berlaku apabila pihak yang diberi kuota memproses minyak masak bersubsidi, didapati menjual bekalan tersebut bukan kepada pengguna sebaliknya kepada pihak ketiga terdiri daripada pemborong dan pekedai.
“Sebenarnya kuota 60,000 tan metrik minyak masak itu mencukupi. Tinggal lagi, yang membuatkan bekalan di pasaran kurang sebab berlaku ketirisan. Macam mana boleh jadi sebegitu?
“Sebab masalahnya ialah ada yang tidak bertanggungjawab. Mereka jual juga (minyak bersubsidi tersebut), tapi ada kes mereka jual kepada pihak ketiga, itu yang menimbulkan masalah kepada pengguna,” kata sumber.
Menjelas lanjut, kata sumber itu, KPDNHEP sentiasa memantau kegiatan tersebut, malah mempunyai sistem kawalan mengesan aktiviti tersebut.
“Ini kita dapat kesan, sebab kita ada buku rekod. Berapa kuota yang dapat, berapa yang dipeket, semua itu kita ada rekod, jadi tak boleh nak tipu.
“Tinggal lagi, apabila dijual kepada pihak ketiga, pihak ketiga itu yang kawal semua itu. Mereka ini terdiri daripada pemborong atau pekedai,” kata sumber.- UTUSAN










