KOTA KINABALU: Tindakan pemimpin Barisan Nasional (BN) menyerang kerajaan hanya akan melemahkan kepimpinan parti.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, beliau berada dalam kerajaan bagi mewakili UMNO dan BN maka, sebarang tindakan menyerang mahukan memberi tekanan kepada kerajaan akan melemahkan parti berkenaan.
“Saya Perdana Menteri daripada BN, bukan Perdana Menteri daripada parti lain, serang saya bermakna melemahkan kepimpinan BN.
“Maka, saya memohon sokongan daripada tuan, puan untuk terus menyokong saya kerana saya memerlukan sokongan daripada semua,” katanya semasa berucap pada Majlis Makan Malam sempena Konvensyen BN Sabah semalam.
Beliau berkata, semakin hampir pilihan raya Umum Ke-15 (PRU-15), sepatutnya BN merapatkan hubungan kerana pimpinan UMNO telah bersetuju agar tiada pemilihan parti akan diadakan maka, fokus harus diberikan untuk menghadapi PRU.

Pada masa ini, kepimpinan BN sepatutnya memberi fokus menyerang pembangkang yang menjadi musuh BN dan bukannnya berperang sesama sendiri.
“Kita sudah menyatakan tidak mahu mengadakan pemilihan parti pada masa ini jadi, apa sebab kita menyerang sesama sendiri, kecuali kita nak berperang, berbunuh sesama sendiri pada pemilihan parti.
“Tapi, yang akan berlaku adalah PRU dulu, sepatutnya kita mesti fokus kepada persiapan PRU. Bila PRU, kita akan berbincang dan saya sendiri akan berbincang dengan kepimpinan tertinggi BN maka, pada masa itu kita akan putuskan.
“Walaupun tidak tahu bila PRU akan diadakan tetapi, kita mesti sentiasa bersedia seolah-olah PRU akan diadakan pada esoknya,” katanya.
Menurut beliau, barisan pimpinan BN perlu bersedia berhadapan dengan manipulasi yang dimainkan pihak pembangkang.
Apabila mendapat gambaran PRU semakin dekat, pembangkang menggunakan isu-isu semasa seperti kenaikan harga barang dan kos sara hidup meningkat untuk mengadakan flashmob.
Malah, flashmob telah diadakan di Masjid Kampung Baru dan difahamkan ia akan berterusan di tempat-tempat lain.
Jelas beliau, jika momentum sebegitu akan diteruskan ia pasti akan menaikkan sentimen rakyat bagi menentang kerajaan.
Namun di pihak kerajaan, beliau akan memastikan kenaikan harga barang secara melampau akan cuba dielakkan menerusi pelbagai kaedan dan pendekatan agar rakyat tidak begitu terkesan. –UTUSAN










