Sampai bila nak bermasam muka? - Utusan Malaysia

Sampai bila nak bermasam muka?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Menjadi satu perkara normal apabila satu-satu pasangan, suami isteri mahupun kekasih, bermasam muka dan saling mengelak untuk berjumpa antara satu sama lain selepas berlaku perceraian atau perpisahan.

Dalam apa bidang sekalipun, situasi berkenaan bukan perkara asing. Termasuk dunia hiburan tanah air. Apabila ada artis yang berkahwin sesama artis bercerai atau artis bercinta sesama artis berpisah, ada dalam kalangan mereka yang sebolehnya mengelak bersua muka atau bekerjasama dengan bekas pasangan masing-masing.

Sekiranya ada projek yang menggabungkan artis berkenaan atau majlis yang menyatukan keduanya, tak bolehkah saling bersikap profesional dan letak tepi soal peribadi? Industri seni kecil ‘padangnya’, balik-balik wajah yang sama yang ditengok.

Pancaindera kali ini mengetengahkan pandangan barisan artis tanah air berkenaan isu ini. Ikuti pandangan mereka, masam muka atau profesional sahaja?

Industri kita kecil sahaja – Ruhainies
Bagi pelakon versatil, Ruhainies, dia mengakui sememangnya agak sukar untuk mengelak bersama kenalan yang dahulunya pernah ‘rapat’.

“Bukan sahaja Malaysia ini kecil, malah industri kita ini pun lagi kecil. Jadi, kita tidak boleh mengelak dan memilih daripada berjumpa atau terserempak.

“Ia kerana atas dasar kerja. Bila bekerja lebih-lebih lagi kita pernah mempunyai hubungan dengan orang dalam satu industri. Mahu atau tidak mahu, kita akan terjumpa juga,” katanya ketika ditemu bual.

Kata pelakon drama popular Cukup Derita Itu lagi, dia menganggap seseorang yang cuba mengelak daripada tersempak adalah individu yang tidak profesional.

Kongsi Ruhainies, dia sama sekali tidak pernah menyimpan rasa di dalam hati dan bersikap terbuka seandainya dia ditakdirkan akan terserempak dengan kenalan yang sudah ‘renggang’.

“Bagi saya, jika mahu elak itu adalah tidak profesional. Tipulah kita tidak pernah rapat dan bekerjasama dengan seseorang dalam industri dan tiba-tiba tidak rapat.

“Namun, saya tidak pernah simpan hati dan okey dengan sesiapa sahaja jika terjumpa dalam industri ini. Saya tidak pernah lari daripada semua itu.

“Bagaimanapun, jika anda tidak selesa dengan seorang itu, janganlah pula beri orang itu turut sama tidak selesa dengan anda. Tidak profesional,” tuturnya lagi.

Orang tak tahu pun kami gaduh – Wani Kayrie

Penyanyi Wani Kayrie, 22, yang dahulunya pernah rapat dan dikatakan menjalinkan hubungan cinta dengan penyanyi Afieq Shazwan mengakui pernah melalui fasa dingin selama dua bulan.

Jelas Wani, tiada angin tiada ribut tiba-tiba sahaja kenyataan putus cinta oleh Afieq timbul di dada akhbar.

“Tak dinafikan kami dingin untuk beberapa bulan sebab saya terkilan dengan kenyataan yang dia buat. Dia sepatutnya bercakap dengan saya dulu.

“Bila kenyataan sudah keluar, nak jumpa pun tak boleh. Tapi lama-kelamaan ditemukan dalam satu kerja, terpaksa kami profesional, orang tak tahu pun kami gaduh.

“Susah rasanya sebab kita orang pernah rapat. Kita bekerja satu industri ini tak seronoklah berpaling muka sebab dia pernah ada waktu saya susah dan tak ada apa-apa,” katanya.

Tidak berfikir terlalu mendalam, Wani menerima dengan hati terbuka terhadap kenyataan Afieq.

“Mungkin dia ada terkilan dengan saya tapi saya tak nak panjangkan dan dia mesti ada sebabnya,” ujarnya lagi.

Kongsi penyanyi Kamu Kamu itu lagi, mereka mula berbaik selepas Afieq mula meninggalkan komen ucapan tahniah kepada Wani di atas pencapaiannya meraih anugerah akademik tahun ini.

“Sejak itu kami mula bertegur tapi belum pernah bertemu lagi.

“Kalau imbas balik, kami pernah disatukan dalam beberapa program hiburan tetapi tak sepentas. Janggal betul rasanya,” katanya.

Bukan perempuan yang melukut di tepi gantang – Ogy Ahmad Daud
Seniwati tanah air, Fauziah Ahmad Daud atau Ogy memaklumkan dia tidak mempunyai sebarang masalah untuk bekerja dengan bekas suami yang juga pelakon hebat, Eman Manan dalam filem atau drama.

Kata Ogy, dia terbuka dan profesional sekiranya ada tawaran yang datang dari penerbit yang ingin menyatukan mereka dalam sebuah naskhah.

“Asalkan cerita itu kuat, merangsang minda dan memerlukan kami berdua sebagai pelakon.

“Saya bukan perempuan yang melukut di tepi gantang. Tak faham, kenapa kena bermasam muka padahal kami tak ada masalah.

“Meskipun diberi watak suami isteri. Saya tak ada masalah dan profesional dalam hal ini,” katanya.

Kata Ogy lagi, sebenarnya ramai produser yang ingin menyatukan dia dan bekas suaminya itu di dalam filem dan drama.

Namun, katanya sehingga ke hari ini hasrat untuk bekerjasama dengan bekas suaminya itu masih belum dapat direalisasikan atas sebab-sebab tertentu.

“Belum diizinkan. Allah tahu masa yang tepat. Ada ketika, saya okey tapi dia tak dapat kerana komitmen dengan projek yang lain.

“Eman Manan adalah nama besar. Kami bekerja bersama sebelum dan selepas kami bernikah. Jadi saya tahu kekuatan dia.

“Jika satu masa nanti saya berpeluang lagi untuk mengarah dan perlukan dia sebagai pelakon, saya tak ada masalah untuk maklumkan perkara itu kepadanya,” terangnya.

Cerai bukan alasan tak boleh kekal hubungan baik – Bad Indigo
Mengejutkan ramai menerusi pengumuman perceraian mereka sekitar Jun lepas, Bad Indigo dan Ashira ialah antara pasangan selebriti yang menjadi perhatian ramai kerana mengaku masih berhubungan baik meski sudah tidak bersama lagi.

Jelas Bad, dia tidak melihat perceraian sebagai sebab untuk dia tidak berbuat baik kepada bekas isteri apatah lagi untuk meneruskan hidup di haluan berbeza dengan bermasam muka.

“Jika sebelum ini tiada pasangan selebriti bercerai dan berbaik seperti kami, mungkin kami boleh dijadikan contoh. Kami memang tak ada halangan untuk jadi kawan, jadi sahabat.

“Saya dengan Ashira berpisah dengan cara baik dan buat keputusan untuk kekal baik walaupun tidak bersama lagi. Malah, kalau ada masing-masing antara kami sudah ada pasangan lain selepas ini pun, tak ada salahnya kalau kita berkawan.

“Tapi mungkin ketika itu kena hadkanlah hubungan itu. Tapi buat masa ini, apa yang boleh saya katakan, memang kami rapat,”katanya.

Tambah Bad, dia percaya tiada gunanya menyimpan dendam sehingga menjadi kesumat di jiwa apa lagi apabila mengenangkan hidup ini tidak lama.

“Bagi saya, apa sahaja rasa tak puas hati atau dendam, ia perlu dilepaskan. Kenapa nak biarkan diri sendiri stres untuk benda yang tak tentu pasal? Benda pun dah berlaku dan apa yang perlu dilakukan adalah bergerak ke depan.

“Yang telah terjadi, kita letak di belakang. Sudah, cukup. Kita husnuzon sahaja. Fikir yang baik-baik saja.

“Saya juga percaya, lebih baik kita doakan buat bekas pasangan kita daripada nak marah-marah atau masam muka. Kita hidup di muka bumi ini pun tidak lama. Jadi kejarlah pahala. Tak akan tak nak pahala?”soalnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.