RUU jenayah intip, hendap jangka dibentang tahun ini

RUU jenayah intip, hendap jangka dibentang tahun ini

MAS Ermieyati Samsudin menyerahkan resolusi Persidangan Meja Bulat Wanita Bangkit 2022 kepada Rina Harun di Hotel Glenmarie Shah Alam, Selangor. UTUSAN/AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Rang Undang-undang (RUU) jenayah intip dan hendap dikenali sebagai ‘anti-stalking law’ dijangka akan dibentangkan di Dewan Rakyat pada tahun ini.

Kerajaan dijangka mengadakan taklimat dalam pertemuan dengan semua Ahli Parlimen, Dewan Negara dan pemegang taruh terlibat pada minggu depan.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, undang-undang itu kini dalam proses akhir perincian di Jabatan Peguam Negara.

“Saya akan membuat taklimat itu bagi memberi pemakluman dan status terkini mengenai RUU berkenaan.

“Kita gembira sekiranya ‘anti-stalking law’ itu dapat dibentangkan tahun ini dan menjadi ‘hadiah’ kepada semua mangsa terlibat,” katanya pada sidang akhbar Persidangan Meja Bulat Wanita Bangkit 2022 hari ini yang turut dihadiri Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun petang tadi.

Pada November 2019, media melaporkan anti-stalking law yang bakal diperkenalkan kerajaan mampu melindungi mangsa terutama wanita daripada gangguan secara realiti atau dalam talian.

Kesalahan dijangka termaktub dalam undang-undang itu bukan setakat gangguan secara sentuhan namun perbuatan berterusan menggunakan pelbagai medium termasuk telekomunikasi hingga mengganggu emosi mangsa.

Malah, perbuatan lelaki menghantar bunga setiap hari atau pesanan aplikasi WhatsApp setiap malam kepada seseorang wanita hingga membuatkan mangsa berasa tidak selesa walaupun tidak pernah mencarut akan dianggap sebagai mengganggu.

Tambah Mas Ermieyati, RUU yang bakal diperkenalkan itu mampu melindungi mangsa daripada gangguan secara realiti atau dalam talian.

“Menerusi undang-undang itu, ramai mangsa akan lebih berani untuk tampil ke hadapan Hasil persidangan meja bulat hari ini turut menggesa RUU itu dipercepatkan,” jelasnya.

Sementara itu, Rina berkata, tiga resolusi dicapai melalui persidangan itu yang melibatkan kluster kepimpinan, kluster perundangan dan kluster sosioekonomi.

“Resolusi ini akan diserahkan kepada kerajaan bagi menambah baik dasar dan pelaksanaan termasuk Belanjawan 2023,” ujarnya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN