Akademik bukan mudah bagi saya - Oddah - Utusan Malaysia

Akademik bukan mudah bagi saya – Oddah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Tidak semua remaja seusianya mempunyai keberanian untuk menggalas dua tanggungjawab besar dalam satu masa. Ketika ramai masih mencari arah dan minat masing-masing, penyanyi muda Auddra Zulkifly, 17, atau lebih dikenali sebagai Oddah, sudah mula melakar langkah dalam dunia seni di samping masih berusaha memastikan pelajaran tidak tercicir di belakang.

Dalam perjalanan yang sedang dibina itu, ada satu perkara yang sentiasa menjadi keutamaan dalam hidupnya. Biarpun namanya semakin dikenali dan peluang dalam industri seni mula terbuka luas, dia tetap sedar bahawa pendidikan merupakan bekalan penting untuk masa hadapan.

Anak kepada pelakon dan penyampai radio, Sharifah Shahirah serta ahli perniagaan, Ijoy Azhari, itu berkata, keputusan meninggalkan sekolah dibuat atas persetujuan keluarga dengan syarat dia tetap meneruskan pelajaran dari rumah sebagai persediaan menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

“Sudah tentu pelajaran itu penting. Masa saya mahu berhenti sekolah dulu, saya ada berselisih faham dengan ibu saya. Selepas itu, mak saya beritahu, kalau saya mahu berhenti sekolah, saya perlu belajar dari rumah. Jadi saya kata okey dan sampai sekarang saya masih belajar seperti itu.

“Belajar tidaklah membebankan sebab jadual kerja saya belum terlalu padat. Saya masih baru dalam industri. Jadi, setiap kali ada masa lapang, saya akan belajar dengan cikgu secara bersemuka di rumah.

“Cikgu selalu datang ke rumah dan kami akan belajar selama satu hingga dua jam. Cikgu itu mengajar saya enam subjek sekali gus. Memang dia banyak membantu saya dalam pelajaran sekarang,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Namun, penyanyi muda itu tidak menafikan bahawa akademik bukanlah perkara yang mudah buat dirinya. Dia mengakui masih bergelut dengan beberapa subjek dan memerlukan lebih banyak masa untuk memahami sesuatu pelajaran.

“Saya tidak begitu yakin kerana saya memang lemah dalam pelajaran. Bahasa Melayu pun saya masih belajar lagi. Tetapi saya sedang berusaha memperbaiki diri dan saya rasa semakin baik berbanding sebelum ini.

“Saya sedang cuba melakukan apa sahaja yang termampu untuk menghadapi SPM. Saya mahu belajar dan dalam masa yang sama saya juga mahu terus bekerja. Jadi saya perlu bijak membahagikan masa antara kedua-duanya,” ujarnya.

Di sebalik segala kesibukan itu, ada satu perkara yang sentiasa menjadi sumber kekuatan buat dirinya. Setiap kali berbicara tentang masa depan, nama kedua-dua ibu bapanya pasti menjadi antara perkara pertama yang disebut.

Menurut Oddah, pengorbanan yang dilakukan oleh ibu bapanya sejak dahulu membuatkan dia berasa bertanggungjawab untuk membalas segala jasa tersebut. Perasaan itulah yang mendorong dirinya untuk terus berusaha menjadi individu yang lebih baik.

“Kalau bercakap tentang ibu dan bapa, memang saya selalu memikirkan mereka. Mereka banyak berkorban untuk saya dan adik-beradik. Sebab itu saya bertekad untuk bekerja kuat dan melakukan semua ini untuk mereka.

“Saya masih bawah umur dan akaun bank saya juga mempunyai had tertentu. Kadang-kadang kalau ada bayaran yang besar, saya akan minta mereka terus masukkan ke akaun ibu saya. Saya memang mahu membantu mereka dengan apa yang saya mampu,” katanya.

Minat terhadap dunia seni pula sebenarnya telah berputik sejak dia masih kecil. Membesar dalam keluarga yang dekat dengan industri hiburan memberi peluang kepadanya melihat sendiri bagaimana dunia tersebut berfungsi di sebalik kamera. 

Malah, dia sering mengikut ibunya ke lokasi penggambaran dan memerhati cara para pelakon serta kru bekerja. Tanpa disedari, pengalaman itulah yang menanam rasa cinta terhadap bidang seni dalam dirinya.

“Dulu masa ibu saya berlakon, saya selalu ikut dia pergi kerja. Saya tengok bagaimana orang berlakon dan bagaimana semuanya berjalan di lokasi penggambaran. Saya memang suka memerhati dan dari situlah minat itu datang,” jelasnya.

Menariknya, Odda mengakui cita-cita awalnya bukanlah untuk bergelar penyanyi seperti hari ini. Sebaliknya, dia pernah membayangkan dirinya melangkah ke dalam industri sebagai seorang pelakon.

“Sebenarnya dari dulu lagi saya memang mahu masuk dalam bidang seni, cuma saya tidak tahu hendak bermula dari mana. Saya ingat saya akan jadi pelakon sebab ibu saya kata saya boleh berlakon. Tetapi akhirnya saya menjadi penyanyi dan saya bersyukur dengan rezeki yang Allah berikan,” katanya.

Walaupun perjalanan yang dilalui tidak pernah dirancang secara terperinci, Odda percaya dia kini berada di tempat yang sepatutnya. Selepas tamat SPM nanti, dia berhasrat untuk terus mengembangkan kerjaya yang sedang dibina tanpa melupakan usaha menambah ilmu dan pengalaman dalam bidang yang diceburinya.

“Perancangan saya selepas SPM adalah untuk terus bekerja dan menghasilkan lebih banyak lagu. Saya juga mahu mengikuti kelas untuk menambah pengetahuan serta meningkatkan kemahiran yang saya ada sekarang.

“Saya mahu pergi lebih jauh dalam bidang ini dan terus belajar benda baharu. Bidang seni memang tempat yang saya mahu berada dan saya akan terus berusaha untuk menjadi lebih baik pada masa akan datang,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN