Pontianak mana kamu jumpa? - Anwar soal Najib - Utusan Malaysia

Pontianak mana kamu jumpa? – Anwar soal Najib

ANWAR Ibrahim berucap pada Kongres Nasional Keadilan Ke-16 di IDCC Shah Alam, Selangor. - UTUSAN/AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: “Pertama saya tidak percaya dengan pontianak dan saya tidak ada pengalaman dengan pontianak. Saya mahu pencerahan daripada Najib, siapa pontianak yang dia maksudkan?”

Demikian pertanyaan balas kepada soal bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang berkata Pakatan Harapan (PH) macam ‘menari dengan pontianak’ apabila disuruh untuk menarik semula perjanjian persefahaman (MoU).

Anwar berkata, Najib tidak memahami masalah rakyat dan menganggap dirinya cukup bagus dengan hanya memberi Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) namun tidak pernah menyelesaikan isu kemiskinan rakyat.

“Soal MoU, PH nyatakan dengan spesifik iaitu RM40 bilion untuk pengurusan Covid-19, RM10 bilion untuk orang miskin, Undi 18, reformasi Parlimen, Akta Anti Lompat Parti serta kebebasan badan kehakiman. Ini yang kami tuntut.

“Jadi, sudah tentu Najib tidak bersetuju dengan MoU itu kerana ia membabitkan kebebasan badan kehakiman yang dia langgar.

“Saya rasa saya faham Najib, saya fikir dia tidak mengerti sebenarnya derita rakyat ini. Dia fikir berikan bantuan seperti BR1M sudah mencukupi. Ini yang saya sebut di Parlimen iaitu dependency syndrome. Kamu membantu orang miskin tetapi kemudian dia perlu bergantung dan akan ‘cium tangan’ kamu sentiasa,” katanya dalam sidang akhbar di IDCC dekat sini.

Terdahulu, Najib membidas ucapan dasar Anwar semasa Kongres Nasional PKR yang mengatakan kerajaan ketika ini baru memerintah setahun tetapi sudah menaikkan harga barang.

Menurut Najib, inflasi berlaku di seluruh dunia dan Barisan Nasional (BN) tidak boleh disalahkan kerajaan. PH dikatakan tidak bersetuju dengan kerajaan namun Najib pertikai mengapa mereka masih meneruskan perjanjian MoU.

Anwar sekali lagi menegaskan MoU bukan satu tiket untuk kerajaan berasa selesa untuk menganggap pembangkang akan mendiamkan permasalahan yang berlaku.

PH komited menjalankan tanggungjawab sebagai blok pembangkang dengan menyempurnakan sistem semak dan imbang dalam negara ini.

“Pada hemat saya, MoU itu kita meterai bukan kerana menyokong kerajaan. Kita kekal sebagai pembangkang dan sanggahan kita berterusan termasuk soal inflasi.

“Ya, inflasi berlaku di seluruh dunia tetapi negara lain tidak mengeluarkan minyak kelapa sawit seperti kita. Saya beri pandangan spesifik, saya beri pandangan yang tidak ganggu keuntungan berbilion syarikat-syarikat besar.

“Tetapi berilah satu kuota supaya penjualan dalam negara mengurangkan beban orang miskin. Pemimpin-pemimpin ini sebenarnya menjadi jurucakap orang-orang kaya dan sukar melihat keupayaan di mana ada kebijakan ekonomi yang boleh menjurus sedikit,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya