Polisi lupus kenderaan buruk perlu dikaji - Utusan Malaysia

Polisi lupus kenderaan buruk perlu dikaji

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Masalah kenderaan buruk tersadai di bahu jalan bukan sesuatu yang baharu.

Sudah lama sebenarnya permasalahan tersebut membelenggu masyarakat kerana keadaan kenderaan itu yang mencacatkan pemandangan, malah turut menjadi ‘sarang’ penjenayah.

Prihatin dengan isu itu, kajian berkenaan End of Life Vehicle (ELV) sedang rancak dijalankan oleh Universiti Kebangsaaan Malaysia (UKM) bagi mengatasi masalah kenderaan buruk yang tersadai di merata-rata tempat.

Salah seorang penyelidik, Prof. Dr. Rozmi Ismail berkata, kajian itu merupakan satu keperluan ketika ini memandangkan jumlah kenderaan buruk tersadai yang menyamai suku populasi penduduk negara ini.

Ia boleh dilihat di mana-mana sama ada di pinggiran jalan, kawasan perumahan mahu pun di tempat parkir kereta yang mencacatkan pemandangan.

“Data menunjukkan lebih tujuh juta kenderaan buruk tersadai di merata tempat di Malaysia, bayangkan apa akan berlaku dalam 20 tahun lagi jika pemilik tidak ada kesedaran untuk melupuskan kenderaan masing-masing.

“Sudah tentu fenomena ini mencacatkan pemandangan sekitar dengan keadaan kereta-kereta yang sudah lama dibiarkan mereput di bahu-bahu jalan. Bayangkan kenderaan tersadai ada lebih suku jumlah penduduk Malaysia,” katanya kepada Utusan Malaysia.

PENCEMARAN ALAM
Lebih membimbangkan, kenderaan-kenderaan tersadai itu sebenarnya mendatangkan pencemaran kepada alam secara tidak langsung.

Kenderaan yang ditinggalkan dengan keadaan masih mempunyai minyak enjin dan sebagainya mampu melepaskan bahan kimia ke udara sekali gus mewujudkan persekitaran yang tidak sihat.

“Lama-kelamaan ia akan mencemarkan alam sekitar serta kesihatan masyarakat sekeliling kerana kualiti udara yang tidak sihat.

“Itu belum lagi kita ambil kira keadaan kereta yang sudah kotor dan buruk menjadi sarang pembiakan nyamuk aedes yang akhirnya akan menyebabkan kejadian denggi berlaku,” ujarnya yang merupakan Pakar Pusat Kajian Psikologi dan Kesejahteraan Manusia, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan UKM.

WUJUDKAN POLISI

Keadaan itu memerlukan satu polisi yang membolehkan kenderaan lama terutama sudah rosak atau tersadai dapat dilupuskan dengan kaedah betul.

“Kajian ini akan mengkaji beberapa perkara berkaitan cadangan polisi seperti menetapkan berapakah usia dan apakah ciri-ciri kenderaan yang tidak selamat dan sesuai untuk dilupuskan.

“Di samping itu, kita akan mengadakan advokasi kepada orang ramai supaya menamatkan riwayat kereta mereka apabila sudah sampai masa dengan membatalkan pendaftaran kereta (matikan geran) dan menyerahkan kereta mereka kepada pihak berkuasa untuk dilupuskan. Oleh itu kesedaran orang ramai untuk melupuskan kenderaan sangat penting,” ujarnya.

Antara yang bakal diusulkan kepada kerajaan adalah perjanjian melupuskan kereta yang sudah tidak lagi berfungsi kepada pihak berkuasa ketika proses jual beli kereta.

Katanya, kaedah itu dilihat lebih efisien iaitu perjanjian telah diadakan lebih awal sekaligus memudahkan proses melupuskan kenderaan berkenaan apabila ia sudah tidak berfungsi kelak.

KAEDAH ALTERNATIF
Tambah Rozmi yang juga Pakar Psikologi Trafik dan Keselamatan Jalan Raya UKM, kaedah itu merupakan alternatif kepada polisi melupuskan kenderaan lama yang diamalkan di negara-negara maju seperti Jepun, Singapura dan Eropah.

Katanya, negara-negara maju berkenaan berjaya mengurangkan lambakan kenderaan dengan mengadakan polisi 10 tahun jangka hayat kenderaan akan dilupuskan.

“Di Singapura misalnya, selepas 10 tahun pemilik diberi pilihan untuk menamatkan riwayat kenderaan atau membayar sejumlah wang untuk menyambung pemilikan dan pengunaannya di jalan raya.

“Di Jepun pula, setiap tiga tahun selepas pembelian kenderaan, pemilik mesti melakukan pemeriksaan keselamatan kenderaan masing-masing, manakala kenderaan berusia lebih 10 tahun mesti lulus pemeriksaan keselamatan yang ketat pada setiap tahun sebelum dibenarkan berada di jalan raya.

“Kebanyakan pemilik kereta di negara maju ini akan menawatkan riwayat kereta mereka selepas 10 tahun dan akan membeli kenderaan baru. Ini adalah contoh yang dilakukan di negara-negara maju tersebut sehingga berjaya menyelesaikan lambakan kenderaan buruk,” katanya lagi.

Bagaimana pun, polisi itu dilihat sebagai mustahil untuk dilaksanakan di negara ini memandangkan terdapat banyak perkara yang perlu diambil kira terutamanya jumlah golongan B40 dan ke bawah yang mewakili 60 peratus populasi.

Cadangan melupuskan kenderaan berusia 10 tahun pasti bakal menimbulkan kemarahan dalam kalangan golongan berpendapatan rendah kerana dianggap membebankan.

“Polisi menyerahkan kenderaan kenderaan yang sudah rosak dan tidak berfungsi kepada pihak berkuasa dilihat lebih efektif untuk mengatasi permasalahan ini.

“Tidak kiralah berapa lama pun mereka menggunakan kenderaan itu, 10 atau 20 tahun, tetapi apabila ia sudah tidak berfungsi lagi mereka harus menyerahkan ia kepada pihak berkuasa untuk dilupuskan dengan kaedah tertentu,” kongsinya.

Kajian yang dimulakan pada tahun lepas itu dijangka bakal lengkap sepenuhnya pada hujung tahun depan dan akan dibentangkan kepada pihak kerajaan untuk pertimbangan lanjut.

PERKHIDMATAN AWAM
Selain itu, katanya pihak kerajaan juga perlu meningkat kualiti pengangkutan awam bagi menggalakkan orang awam menggunakan perkhidmatan seperti bas, teksi dan komuter dan sebagainya.

“Kualiti perkhidmatan awam perlu ditingkatkan kerana ia juga salah satu kaedah yang boleh digunakan bagi mengurangkan penggunaan kenderaan persendirian dan sekali gus mengurangkan kesesakan jalan raya melampau.

“Boleh juga kenakan bayaran atau permit tertentu untuk memasuki bandar pada waktu puncak untuk mengurangkan kesesakan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.