Rohingya tidak pernah terima bantuan sejak 1998

Rohingya tidak pernah terima bantuan sejak 1998

SEBUAH lagi perkampungan haram etnik Rohingya didirikan di kawasan terpencil Sungai Tekali, Hulu Langat, Selangor. - UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pertubuhan Hak Asasi Manusia Etnik Rohingya Myanmar Malaysia (Merhrom) mendedahkan, komuniti mereka tidak pernah menerima sebarang pembiayaan daripada mana-mana agensi sejak mula ditubuhkan pada tahun 1998.

Kekurangan dana yang kritikal menjejaskan kelangsungan pengurusan kebajikan komuniti berkenaan khususnya sektor pendidikan dan kemudahan kesihatan.

Presiden Merhrom, Zafar Abdul Ghani berkata, pihak mereka sebelum ini pernah menubuhkan sebuah pusat pendidikan khas untuk anak-anak pelarian.

“Pusat berkenaan terpaksa ditutup akibat kegagalan ibu bapa melunaskan yuran minimum akibat kekangan kewangan dan kekurangan dana yang meruncing,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Katanya, pengurusan kebajikan kesihatan bagi komuniti tersebut juga berada pada tahap yang membimbangkan.

“Merhrom hanya mampu mengutip sumbangan kilat sesama mereka atas dasar kecemasan sekiranya ahli komuniti memerlukan rawatan segera.

“Usaha tersebut sering menemui jalan buntu memandangkan majoriti pelarian Rohingya kini tidak mempunyai pekerjaan tetap dan tidak mampu untuk membantu sesama sendiri.

“Mereka terpaksa meminjam wang daripada ahli keluarga atau rakan-rakan semata-mata untuk membayar bil rawatan di hospital.

“Ramai dalam kalangan mereka langsung tidak dapat mengakses rawatan perubatan yang diperlukan disebabkan kos hospital yang terlalu tinggi,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, isu ketiadaan dana itu turut memberi kesan rantaian kepada pengurusan hospital kerajaan di seluruh negara.

“Saya sering menerima panggilan telefon daripada doktor-doktor di hospital kerajaan yang meminta bantuan pertubuhan itu untuk menyelesaikan tunggakan bil perubatan pesakit Rohingya.

“Saya telah menjelaskan kepada pihak doktor bahawa Merhrom tidak mempunyai sebarang pembiayaan untuk menampung kos rawatan tersebut.

“Saya menyarankan pihak hospital serta pelarian terbabit segera menghubungi Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) dan NGO lain untuk memohon bantuan,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, wujud sokongan daripada beberapa NGO tempatan dan antarabangsa, namun jumlahnya masih belum mencukupi berbanding bilangan pelarian yang terlalu ramai.

“Antara organisasi yang aktif menghulurkan bantuan perubatan setakat ini adalah Mercy Malaysia, Persatuan Bantuan Perubatan Malaysia (MRA), Yayasan Tzu Chi, Doctors Without Borders (MSF) dan Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia (MRCS).

“Komuniti berkenaan kini bergantung kepada sekolah yang dikendalikan oleh NGO tempatan seperti Sekolah Dignity, Sekolah Fugee dan Sekolah Al Ikhlas bagi akses pendidikan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN