PETALING JAYA: Pengeluaran minyak sawit mentah (MSM) berpotensi menerima kesan negatif sehingga tempoh dua tahun sekiranya fenomena El Nino yang kuat berlaku pada penghujung tahun ini, sekali gus menjejaskan hasil tanaman dan menyokong peningkatan harga komoditi berkenaan dalam jangka sederhana.
Penganalisis RHB Investment Bank Bhd., Hoe Lee Leng berkata, kebarangkalian berlakunya El Nino pada tahap kuat dijangka meningkat kepada 88 peratus bagi tempoh November 2026 hingga Januari 2027 berdasarkan ramalan yang dikeluarkan oleh Pentadbiran Lautan dan Atmosfera Kebangsaan Amerika Syarikat (NOAA).
Katanya, sekiranya fenomena cuaca tersebut berlaku seperti yang diunjur, pengeluaran MSM dijangka berdepan tekanan akibat penurunan hasil tanaman, dengan impaknya berkemungkinan berlarutan sehingga dua tahun bergantung kepada tahap keterukan keadaan cuaca.
Katanya, berdasarkan pengalaman lalu, kesan ketara El Nino terhadap pengeluaran MSM lazimnya hanya berlaku ketika fenomena itu mencapai tahap yang kuat.
“Justeru, sekiranya El Nino berkembang kepada tahap sederhana atau kuat seperti yang diramalkan, industri perladangan sawit berisiko mengalami penyusutan hasil tanaman dalam tempoh mendatang,” katanya dalam nota penyelidikan.
Dalam pada itu, NOAA mengesahkan kemunculan El Nino dan mengeluarkan makluman bahawa fenomena itu dijangka terus menguat dalam beberapa bulan akan datang.
Bagaimanapun, beliau berkata Biro Meteorologi Australia setakat ini masih belum mengeluarkan pengesahan rasmi mengenai kemunculan El Nino.
Sebelum ini, fenomena El Nino sering memberi kesan negatif terhadap produktiviti tanaman sawit, dengan kadar penurunan hasil dianggarkan antara dua hingga 20 peratus bergantung kepada tahap kekuatannya.
Menurut RHB Investment Bank, episod El Nino yang berlaku pada 1997 hingga 1998 serta 2015 hingga 2016 menunjukkan impak ketara terhadap industri sawit apabila hasil tanaman masing-masing merosot sebanyak 17 peratus pada 1998 hingga 1999 dan 14 peratus pada 2016 hingga 2017.
Bagaimanapun, kesan tersebut biasanya hanya dapat dilihat kira-kira setahun selepas fenomena cuaca itu berlaku.
Pada masa yang sama, harga minyak sawit mentah (MSM) kebiasaannya mendapat manfaat daripada keadaan tersebut apabila bekalan menjadi lebih terhad.
Berdasarkan data, purata harga MSM meningkat sekitar 21 peratus semasa tempoh El Nino dan terus mencatat kenaikan purata 26 peratus pada tahun berikutnya.
Susulan prospek harga yang lebih kukuh, RHB Investment Bank mengekalkan penilaian positif terhadap sektor perladangan dengan menaik taraf saranannya kepada “wajaran tinggi” berbanding “neutral” sebelum ini. Langkah itu didorong oleh potensi kenaikan harga MSM sekiranya fenomena El Nino berkembang menjadi lebih kuat.
Bagi unjuran semasa, bank pelaburan berkenaan mengekalkan anggaran harga purata MSM pada RM4,400 satu tan bagi 2026 dan RM4,300 satu tan bagi 2027, sementara menunggu petunjuk yang lebih jelas mengenai intensiti sebenar fenomena cuaca tersebut. – UTUSAN










