PM kecewa gaji pekerja masih rendah - Utusan Malaysia

PM kecewa gaji pekerja masih rendah

ISMAIL Sabri Yaakob (tengah) melakukan gimik perasmian Ekspo Kerjaya Jamin Kerja Keluarga Malaysia 2022 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) di Kuala Lumpur, semalam. – UTUSAN/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengakui kecewa apabila mendapati gaji yang ditawarkan oleh majikan di negara ketika ini tidak setimpal dan berpadanan dengan kelayakan dan kerja yang dilakukan oleh anak-anak tempatan.

Ini kerana, katanya, berdasarkan statistik portal cari kerja, MyFutureJobs yang dikendalikan oleh Kementerian Sumber Manusia melaporkan bahawa lingkungan gaji bagi kekosongan jawatan yang paling banyak ditawarkan di seluruh negara adalah RM1,200 hingga RM2,000 setakat Julai lalu.

Katanya, perkara itu adalah sesuatu yang mengecewakan sedangkan kerajaan kini giat membangunkan pekerja berkemahiran yang produktif dan berpotensi tinggi.

“Saya ingin mengingatkan majikan bahawa mulai 1 Mei lepas, gaji minimum seseorang pekerja ialah RM1,500 bagi keselesaan hidup Keluarga Malaysia.

“Sehubungan itu, saya meminta semua pihak majikan mengambil serius mengenai perkara ini kerana pekerja merupakan tunjang utama dalam mana-mana organisasi,” katanya ketika merasmikan Ekspo Kerjaya Jamin Kerja Keluarga Malaysia 2022 di ibu negara.

Jelasnya lagi, bagi menangani ketidakpadanan gaji dengan pekerjaan ketika ini, Kementerian Sumber Manusia digesa berunding dengan pihak majikan dan wakil-wakil pekerja bagi mengenal pasti pendekatan dan solusi terbaik kepada masalah tersebut.

“Malah, melalui platform rundingan tiga pihak, Majlis Penasihat Buruh Kebangsaan boleh dimanfaat untuk melaksanakan konsultasi tiga penjuru bagi mencapai kata sepakat demi kesejahteraan rakyat.

“Oleh itu, saya menyeru kepada majikan termasuk agensi kerajaan, syarikat berkaitan kerajaan dan swasta supaya menyediakan peluang kerja dan insentif terbaik untuk pencari kerja,” katanya.

Selain itu, Ismail Sabri menyifatkan, sebuah data pekerja kebangsaan perlu dibangunkan bagi merapatkan jurang penawaran dengan permintaan pekerjaan oleh majikan dan pekerja.

“Justeru, saya menyeru kepada seluruh rakyat supaya merebut segala inisiatif dan insentif yang ditawarkan bukan sahaja untuk menambah baik kehidupan tetapi juga berganding bahu bagi memulihkan semula ekonomi negara,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya