PYONGYANG: Korea Utara akan mengadakan satu upacara bulan ini bagi mengebumikan tenteranya yang terkorban ketika bertempur di luar negara bersama Russia dalam perang menentang Ukraine, lapor media rasmi pada Jumaat.
Pyongyang menghantar ribuan anggota tentera selain peluru berpandu dan bekalan senjata untuk menyokong perang Russia di Ukraine. Seoul menganggarkan kira-kira 2,000 rakyat Korea Utara telah terbunuh.
Sebagai balasan, penganalisis berkata, Korea Utara menerima bantuan kewangan, teknologi ketenteraan, makanan dan tenaga daripada Russia, sekali gus membantu Pyongyang mengatasi sekatan antarabangsa yang ketat berhubung program nuklearnya yang dilarang.
Negara terpencil itu juga sedang membina sebuah muzium bagi memperingati tentera yang terkorban, dengan media rasmi melaporkan projek tersebut kini sudah 97 peratus siap.
Menurut KCNA, satu upacara pengebumian para pejuag itu akan diadakan secara rasmi pada pertengahan April, serentak dengan perasmian muzium berkenaan.
Upacara itu akan berlangsung sempena ulang tahun pertama berakhirnya operasi pembebasan Kursk, tambah laporan tersebut.
Pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un dilaporkan telah melawat tapak berkenaan dan meninjau peringkat akhir projek termasuk susunan pameran, arca serta tugu simbolik, dan amat menghargai kemajuan yang dicapai.
Jong Un menyifatkan muzium itu sebagai monumen bagi suatu era, memuji ‘kepahlawanan agung’ tentera yang terkorban serta menganggap kemudahan itu sebagai pusat pendidikan patriotisme.
Korea Utara mengesahkan pada April tahun lalu ia telah mengerahkan tenteranya bagi menyokong perang Russia di Ukraine dan turut mengakui anggotanya terkorban dalam pertempuran.
Sejak itu, Jong Un menghadiri beberapa upacara bagi memberi penghormatan kepada tentera yang gugur.
Dalam satu acara tahun lalu, imej yang disiarkan KCNA menunjukkan beliau dalam keadaan penuh emosi memeluk seorang tentera yang Kembali dan kelihatan sangat terharu sehingga menyembamkan wajahnya ke dada pemimpin itu.
Beliau juga dilihat berlutut di hadapan potret seorang tentera yang terkorban sebagai tanda penghormatan, selain meletakkan pingat dan bunga di sisi gambar mereka yang maut.
Pada awal Julai, media rasmi sekali lagi menyiarkan Jong Un yang jelas kelihatan sebak ketika memberi penghormatan kepada keranda yang dibalut bendera, dipercayai membawa pulang jenazah tentera yang terkorban.-AFP










