JOHOR BAHRU: Kesedaran pengguna jalan raya termasuk pemandu kenderaan perdagangan terhadap undang-undang dan peraturan jalan raya masih berada pada tahap rendah.
Pengarah Pengangkutan Jalan Johor, Azmil Zainal Adnan berkata, statistik menunjukkan peratusan kemalangan maut masih tinggi dan faktor utama puncanya kerana pemandu tidak mematuhi peraturan yang ditetapkan.
“Menerusi Operasi Khas Rentas Sempadan yang dijalankan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) selama empat hari, sejumlah 1,070 kenderaan diperiksa dengan 968 daripadanya dikenakan tindakan atas pelbagai kesalahan jalan raya.
“Daripada jumlah berkenaan, sebanyak 384 kesalahan adalah yang dilakukan oleh pemandu kenderaan perdagangan termasuk lori-lori dengan kesalahan membawa muatan berlebihan dan muatan berbahaya dikenal pasti sebagai yang paling tinggi dengan 124 kes.
“Bakinya melibatkan 231 kes kesalahan teknikal dan 27 kes pula membabitkan kesalahan memandu di lorong kanan,” katanya dalam sidang akhbar selepas meninjau pelaksanaan operasi berkenaan di Plaza Tol Skudai, di sini hari ini.
Operasi Khas Rentas Sempadan berkenaan dijalankan secara bersepadu melibatkan JPJ Johor, Melaka dan Negeri Sembilan yang memberi tumpuan terhadap kenderaan perdagangan berat.
Dalam operasi berkenaan, pihaknya turut mengeluarkan sebanyak 1,294 notis atas pelbagai kesalahan lain.
Pihaknya turut menekankan penguatkuasaan terhadap kesalahan memandu di lorong kanan secara berterusan bagi kenderaan perdagangan.
“Hal ini kerana tindakan memandu kenderaan berat di lorong kanan secara berterusan amat membahayakan pengguna jalan raya yang lain, ia juga merupakan salah satu punca kemalangan maut,” jelasnya.
Dalam pada itu, Azmil turut memaklumkan pihaknya telah menyita 37 kenderaan yang dipandu warga asing sepanjang tempoh operasi berkenaan.
Warga asing yang terlibat adalah 19 warga Myanmar, lapan Pakistan, enam Bangladesh dan empat Nepal atas kesalahan tidak mempunyai lesen memandu serta menyalahkan lesen kenderaan motor untuk tujuan perniagaan. – UTUSAN










