Pengamal seks sejenis risiko tinggi kena cacar monyet - Utusan Malaysia

Pengamal seks sejenis risiko tinggi kena cacar monyet

GAMBAR diedarkan Agensi Keselamatan Kesihatan United Kingdom menunjukkan jangkitan cacar monyet pada tangan dan bahagian-bahagian tubuh badan lain. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Penularan penyakit cacar monyet buat masa ini hanya tertumpu dalam kalangan lelaki yang mengamalkan seks sejenis terutama golongan gay, biseksual dan transgender (LGBT).

Bercakap kepada Utusan Malaysia, pakar virologi Universiti Malaya (UM), Prof. Dr. Sazaly Abu Bakar berkata, penularan itu lebih membimbangkan apabila sempadan negara telah dibuka, lebih-lebih lagi golongan berkenaan yang keluar masuk negara berjumpa ‘pasangan’ masing-masing sekali gus terdedah kepada jangkitan.

Beliau berkata, penyakit itu sebenarnya telah lama wujud tetapi tidak menular keluar dari benua Afrika kerana ia tidak seperti Covid-19 yang mudah berjangkit melalui aerosol atau udara.

Sedangkan cacar monyet, jelas beliau, akan menjangkiti mereka yang mempunyai kontak rapat dan bergejala apabila terkena cecair daripada seseorang yang sudah dijangkiti dan bergejala.

“Apabila sudah ada gejala, baru boleh menjangkiti dan tak mudah merebak. Kalau Malaysia tidak ada kes, maka tak perlu risau, maknanya tidak ada pembawa dalam kalangan kita.

“Tetapi apa yang merisaukan kita sempadan telah dibuka dan ramai orang Malaysia keluar negara dan orang luar negara datang ke Malaysia. Namun buat masa ini risiko penularannya dalam kelompok lelaki yang mengamalkan seks sesama sejenis, jadi bukan semua orang dapat,” katanya di sini semalam.

Dalam usaha pencegahan penularan cacar monyet, Kementerian Kesihatan mengingatkan kepada semua fasiliti kesihatan supaya peka dengan situasi semasa cacar monyet dalam meningkatkan pengesanan kes dalam kalangan pesakit yang berisiko.

Sazaly berkata, golongan LGBT yang mengamalkan seks sejenis dan bertukar-tukar pasangan perlu berhati-hati dengan mengambil langkah perlindungan selain memastikan pasangan tidak ada jangkitan.

Ini kerana kata beliau, jangkitan cacar monyet boleh menular melalui cecair, air liur atau dalam sperma mereka yang mempunyai penyakit seksual iaitu sama seperti penularan asal jangkitan kes HIV.

“Lebih risau kalau mereka sejenis kelompok ‘dua alam’. Mereka ada keluarga, ada anak-anak, bila dah terkena jangkitan melalui seks sejenis, dia akan menjangkiti pasangan dan anak-anak.

“Antara gejala ialah demam dan keluar biji-biji cecair seperti chicken pox awalnya di sekitar kemaluan atau dubur bergantung kepada perbuatan seksual yang boleh menjadi lebih teruk. Kalau tak dirawat bagi mereka yang mempunyai risiko lain boleh membawa maut. Bagaimanapun kadar kematian pada masa ini tidak tinggi. Kadar kes pun ada sekitar 14,000 kes seluruh dunia,” katanya.

Sazaly berkata, vaksin bagi mencegah penyakit itu masih tidak dibangunkan kecuali vaksin Smallpox yang hanya digunakan untuk persediaan angkatan tentera negara dan pengeluarannya amat terhad kerana kosnya amat tinggi.

Bagaimanapun katanya, pemberian vaksin ini boleh dicadangkan kepada mereka yang terlibat dengan seks luar tabii dan langkah membangunkan vaksin baharu bagi mencegah cacar monyet belum lagi pada tahap memerlukan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.