Kumpulan indie rock terkenal dari Ireland Utara, Two Door Cinema Club bakal mengadakan konsert Two Door Cinema Club 15th Anniversary Tour di Mega Star Arena pada 19 Ogos 2026 sempena sambutan ulang tahun ke-15 album ikonik mereka, Tourist History.
Konsert tersebut bakal menyaksikan kumpulan yang dianggotai Alex Trimble, Sam Halliday dan Kevin Baird mempersembahkan keseluruhan album Tourist History selain beberapa lagu popular lain yang pernah mewarnai era muzik indie dunia.
Album yang dilancarkan pada 2010 itu menjadi titik penting dalam perjalanan seni Two Door Cinema Club menerusi lagu-lagu seperti What You Know, Something Good Can Work, Undercover Martyn, I Can Talk dan This Is The Life.
Penganjuran konsert berkenaan dijangka mengimbau nostalgia peminat yang membesar dengan muzik indie sekitar dekad 2010-an selain menghidupkan kembali suasana persembahan alternatif berskala besar di ibu negara.
Menurut pihak artis, sambutan ulang tahun album tersebut mempunyai nilai sentimental kerana karya berkenaan menjadi pemangkin kepada kejayaan mereka di peringkat antarabangsa.
“Tourist History adalah album yang mengubah perjalanan kami sebagai sebuah band dan membawakan album ini semula secara penuh di hadapan peminat adalah sesuatu yang sangat bermakna,” kata Two Door Cinema Club.
Mereka berkata, konsert itu juga lebih istimewa kerana berlangsung selepas tempoh yang agak lama kumpulan tersebut tidak mengadakan persembahan berskala besar di Kuala Lumpur.
“15th Anniversary Tour ini menjadikan malam tersebut lebih istimewa dan kami tidak sabar untuk berkongsi momen epik ini bersama peminat di Malaysia,” katanya.
Sementara itu, wakil penganjur, Faded Youth MY berkata, pemilihan Two Door Cinema Club dibuat berdasarkan kekuatan kelompok peminat kumpulan berkenaan di Malaysia serta permintaan tinggi terhadap persembahan antarabangsa berunsurkan nostalgia.
“Konsert ini bukan hanya tentang membawa sebuah band antarabangsa ke Kuala Lumpur, tetapi turut meraikan satu era muzik yang dekat dengan ramai peminat dan kami percaya ia akan menjadi antara konsert indie antarabangsa paling dinantikan pada 2026,” katanya.
Tiket konsert akan mula dijual pada 23 Mei 2026 bermula pukul 10 pagi menerusi platform Ticket Empire dengan harga RM280 bagi Rock Zone, RM320 (Cat 1) dan RM240 (Cat 2), tidak termasuk caj tiket serta pemprosesan.










