BERA: Sebanyak sembilan pintu deretan kedai di Batu 1-2 Jalan Triang-Kerayong di sini, musnah dalam kebakaran malam tadi namun kejadian itu tidak melibatkan kemalangan jiwa.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Mohd. Salahuddin Isa berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 8.45 malam sebelum jentera pertama dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Triang tiba di lokasi kira-kira sembilan minit kemudian.
Katanya, kebakaran melibatkan deretan enam pintu kedai namun keseluruhan kawasan deretan tersebut membabitkan sembilan pintu premis.
“Kebakaran dapat dikawal pada pukul 10.20 malam dan siasatan lanjut berhubung punca kejadian masih dijalankan,” katanya hari ini.
Beliau berkata, operasi pemadaman melibatkan anggota dari BBP Triang dengan bantuan BBP Bukit Angin dan BBP Temerloh.
“Seorang anggota bomba dilaporkan mengalami kekejangan otot ketika operasi pemadaman dijalankan. Dia dihantar ke Hospital Bera bagi menerima rawatan lanjut dan keadaannya dilaporkan stabil,” katanya. – UTUSAN










