Pelancong duduk atas bumbung Vellfire di Langkawi ditahan polis - Utusan Malaysia

Pelancong duduk atas bumbung Vellfire di Langkawi ditahan polis

AKSI seorang pelancong tempatan yang berkelakuan tidak senonoh ketika berkunjung ke Pulau Langkawi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LANGKAWI: Polis menahan seorang pelancong tempatan yang berkelakuan tidak senonoh apabila duduk di atas bumbung sebuah kereta pelbagai guna (MPV) di pulau pelancongan ini, baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Shariman Ashari berkata, lelaki berusia 25 tahun itu ditahan kira-kira pukul 7 petang sebaik sahaja tiba pekarangan Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi, di sini kelmarin.

“Suspek direman bermula semalam selama tiga hari bagi siasatan lanjut di bawah Seksyen 21, Akta Kesalahan Kecil 1955 kerana mabuk dan berkelakuan tidak senonoh di tempat awam,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Pada Khamis lalu, akhbar ini melaporkan polis sedang mengesan lelaki terbabit sebaik sahaja menerima maklumat selepas insiden lelaki berkenaan duduk di atas bumbung Toyota Vellfire yang disewa.

Siasatan awal mendapati lelaki berkenaan dan rakan-rakannya merupakan pelancong tempatan yang berkunjung ke pulau berkenaan untuk bercuti telah keluar dari Pulau Langkawi ketika gambar-gambar aksinya tular di media sosial.

Gambar dikongsi pengguna media sosial memaparkan aksi lelaki tersebut yang ‘bersidai’ melalui sunroof sebuah kereta mewah berwarna putih yang mengundang kemarahan warganet terutama pengusaha kereta sewa kerana khuatir ia merosakkan struktur bumbung kenderaan terbabit.

Sementara itu dalam kejadian berasingan, Polis Langkawi sedang mengesan pemandu kereta yang terlibat insiden dikejar sebuah kereta peronda polis di sekitar Kuah di sini malam tadi.

Shariman berkata, anggota peronda polis yang sedang melakukan tugasan rondaan ternampak sebuah kereta jenis Honda Civic berwarna putih dalam keadaan mencurigakan.

“Polis mengarahkan kenderaan tersebut untuk berhenti, namun pemandunya enggan memberikan kerjasama dan memecut laju menghala ke Kampung Padang Lalang, Kuah sebelum membuat pusingan di sekitar Kuah dan melarikan diri,” katanya.

Menurutnya, kereta tersebut kemudiannya dikesan di hadapan sebuah sekolah di Kisap tanpa pemandu dan dibawa ke Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Langkawi untuk pemeriksaan lanjut.

Shariman menyatakan, siasatan awal mendapati pemilik berdaftar kenderaan tersebut telah menjual kereta tersebut tetapi belum menukar nama pada dokumen pendaftaran kenderaan.

Tambahnya, pembeli kereta tersebut sedang dalam tahanan polis sejak 17 Julai lalu dan disiasat di bawah Seksyen 39A (2) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Kes ini pula disiasat di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan,” katanya.

Terdahulu, tular di media sosial dua klip video berdurasi 9 dan 20 saat dikongsikan di Langkawi Hari Ini (LHI) melalui laman Facebook yang menunjukkan aksi sebuah kereta Honda Civic dikejar peronda polis. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.