Orang Asli berhimpun bantah pembalakan

Orang Asli berhimpun bantah pembalakan

ORANG Asli yang mengadakan perhimpunan mendesak kerajaan negeri membatalkan konsesi pembalakan di kawasan mereka di pekarangan Bangunan Perak Darul Ridzuan di Ipoh, Perak, semalam. – FOTO/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Lebih 100 Orang Asli dari tiga kampung dekat Bidor menggesa kerajaan negeri membatalkan konsesi pembalakan yang didakwa melibatkan kawasan pe­­nempatan mereka.

Mereka yang berhimpun di pe­karangan Bangunan Perak Da­rul Ridzuan di sini semalam turut disertai Tok Batin dan Orang Asli dari Negeri Sembilan, Pahang dan Kelantan sebagai tanda sokongan bagi melindungi Ta­nah Adat Orang Asli di Perak.

Tok Batin Orang Asli Kampung Chang Lama Bidor, Dahil Yok Cho­pil berkata, tujuan mereka berhimpun ialah untuk menye­rahkan dua memorandum bantahan kepada Menteri Besar Pe­rak, Datuk Seri Saarani Mohamad.

Menurut Dahil, memorandum itu merupakan bantahan pembalakan di kawa­san wilayah tanah adat Orang Asli Kampung Chang Lama, Kampung Chang Baru dan Kampung Senta di Bidor dan memorandum membantah pembalakan di wilayah tanah adat Orang Asli di Perak.

“Memorandum ini sebagai bantahan kami terhadap pembalakan di kawasan kami kerana jika dibenarkan ia dibimbangi akan menyebabkan bencana alam dan mengancam sumber pendapatan kami.

“Masyarakat Orang Asli di negeri ini meminta agar kerajaan negeri memandang serius perkara ini dan mengalihkan lokasi pembalakan di kawasan yang tidak dihuni orang asal,” katanya kepada pemberita selepas menyerahkan memorandum bantahan kepada wakil Pejabat Menteri Besar Perak di sini semalam.

Memorandum diserahkan ke­pada Pegawai Khas II Menteri Besar Perak, Azlan Aminuddin.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungkai, A. Sivanesan yang hadir di lokasi berkata, pihaknya telah mendengar masalah berkenaan dan turut meminta agar kerajaan negeri membatalkan konsesi pembalakan seluas 80 hektar itu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN