SEREMBAN: Negeri Sembilan bakal menjadi pengeluar hasil tenusu berskala besar di negara ini melalui pengoperasian syarikat Fraser & Neave Holdings Bhd. (F&N) di sebuah ladang ternakan seluas 2,726 hektar di Gemas, Tampin.
Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pelaburan, Perindustrian, Keusahawanan, Pendidikan dan Modal Insan negeri, Dr. Mohamad Rafie Ab Malek berkata, projek dengan pelaburan sebanyak RM2 bilion itu dijangka beroperasi tahun ini dengan sasaran pengeluaran susu segar pertama pada Disember 2024.
“Ini merupakan salah satu penternakan tenusu bersepadu yang terbesar di negara ini dalam usaha membangun ladang ternakan lembu susu.
“Pada peringkat awal nilai pelaburan adalah sebanyak RM700 juta tetapi ia dijangka meningkat secara berperingkat sehingga RM2 bilion,” katanya ketika ditemui selepas majlis perasmian NS Fest 2022 dan pelancaran Jalur Gemilang 2022 Peringkat Negeri Sembilan di Dataran Nilai, Nilai di sini hari ini.
Jelas Mohamad Rafie, dalam menjayakan projek pengeluaran produk tenusu segar tersebut, kerajaan Negeri Sembilan akan bertindak sebagai penyelaras bagi mempermudahkan syarikat F&N melabur di negeri ini.
“Sebagai permulaan, sebanyak 4,000 ekor lembu ternakan susu dari luar negara akan dibawa masuk dan dijangka bertambah sehingga kapasiti maksimum 20,000 ekor lembu. Lembu-lembu itu akan dibiak dalam negara kerana lembu susu ini ada baka tersendiri,” katanya.
Jelas beliau, pembukaan operasi ladang F&N itu juga dapat mewujudkan sebanyak 150 hingga 200 peluang pekerjaan dan perniagaan kepada penduduk Negeri Sembilan khususnya di Gemas.
“Kerajaan Negeri Sembilan berharap mereka yang mempunyai tanah (persendirian) dapat mengusahakan tanaman bijirin khususnya jagung sebagai sumber makanan kepada ternakan ini.
“Pada masa depan, diharapkan pengeluaran tenusu segar di Gemas ini dapat dikembangkan ke daerah lain dalam masa sama menjadi pencetus bukan sahaja di Negeri Sembilan tetapi untuk negara,” katanya.
Tambah beliau, projek berskala besar itu juga dilihat mampu merealisasikan hasrat kerajaan negeri untuk menjadikan empat daerah di Negeri Sembilan iaitu Rembau, Kuala Pilah, Tampin dan Jempol sebagai pembangunan agropolis yang menerapkan elemen pertanian. – UTUSAN










