PETALING JAYA: Bacaan kali kedua, perbahasan dan pengundian Rang Undang-Undang (RUU) Anti Lompat Parti merupakan antara agenda utama dalam aturan sidang Dewan Rakyat dalam Mesyuarat Kedua, Penggal Kelima Parlimen Ke-14, minggu ini.
Jika diluluskan dengan sokongan dua pertiga atau 148 ahli Dewan Rakyat, RUU itu bakal melakar sejarah baharu pentas demokrasi Malaysia apabila julung kalinya negara mewujudkan satu undang-undang untuk menghalang anggota Dewan Rakyat melompat parti seperti mana keadaan itu menggugat kestabilan negara selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).
Menurut garis masa dikeluarkan Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), hari ini dijangka berlangsung sesi taklimat kepada ahli Parlimen kerajaan dan diikuti pembangkang pada esok.
Pada Rabu pula, bacaan kali kedua oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan seterusnya penggulungan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar pada Khamis ini seterusnya proses pengundian dalam kalangan ahli Parlimen.
Penggubalan RUU Anti Lompat memerlukan sokongan dua pertiga ahli Parlimen iaitu 148 ahli Dewan Rakyat apabila ia membabitkan proses pindaan Perlembagaan Persekutuan yang membabitkan Perkara 10, Perkara 48, Perkara 60 serta Jadual Kelapan.
Di bawah draf baru RUU itu, Perkara 49A(1) menetapkan seseorang ahli Dewan Rakyat hendaklah terhenti menjadi ahli dewan itu dan kerusinya kosong apabila dia melepaskan keanggotaan parti politik, tidak lagi menjadi anggota parti politik atau Ahli Parlimen bebas yang menang pilihan raya kemudian menyertai parti politik. – UTUSAN