Operasi pembenihan awan bermula hari ini hingga Khamis

Operasi pembenihan awan bermula hari ini hingga Khamis

OPERASI Pembenihan Awan (OPA) dilaksanakan oleh Jabatan Meteorologi (MET Malaysia), Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM). IHSAN NADMA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Operasi pembenihan awan (OPA) dilaksanakan bermula hari ini hingga Khamis, susulan cuaca panas yang sedang melanda negara.

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup berkata, OPA dilaksanakan oleh Jabatan Meteorologi (MET Malaysia), Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Katanya, pelaksanaan selama tiga hari itu adalah bagi mendepani cabaran cuaca panas terutama di utara dan selatan Semenanjung.

“Ia akan memberikan tumpuan khusus kepada empangan utama yang terletak di Perak, Kedah, Perlis dan Johor bagi memastikan kelangsungan bekalan air domestik dan pertanian.

“Objektif utama siri operasi ini adalah untuk meningkatkan paras air di empangan-empangan strategik tersebut serta membantu memberikan kelembapan kepada ekosistem bagi mengurangkan risiko kebakaran hutan dan tanah gambut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Setakat semalam, Kota Setar, Kedah berada pada tahap dua (gelombang haba) dengan suhu maksimum harian melebihi 37 hingga 40 darjah Celsius sekurang-kurangnya tiga hari berturut-turut.

Selain itu, beberapa kawasan di Perlis, Kedah, Kelantan, Perak, Pahang dan Johor turut diletakkan di bawah tahap satu (berjaga-jaga) berikutan suhu maksimum harian 35 hingga 37 darjah Celsius.

Arthur berkata, kejayaan operasi amat bergantung kepada keadaan atmosfera yang kondusif terutamanya kehadiran awan kumulus yang sesuai dan kelajuan angin rendah.

Katanya, pasukan teknikal MET Malaysia sentiasa memantau keadaan cuaca dari masa ke semasa bagi menentukan lokasi sasaran yang dapat menghasilkan impak maksimum kepada kawasan terkesan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN