PUTRAJAYA: Mesyuarat Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi esok bertumpu kepada laporan daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mengenai kedudukan bekalan minyak masak bersubsidi, ayam dan telur.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, mesyuarat kali keempat itu juga dijangka berkisar mengenai situasi sebenar bekalan dan tahap pematuhan harga siling ditetapkan kerajaan.
“Dalam mesyuarat esok, isu utama adalah laporan daripada KPDNHEP mengenai kedudukan bekalan minyak masak bersubsidi satu kilogram, ayam dan telur. Ini penting kerana ia adalah isu yang dibangkitkan rakyat khususnya berkaitan bekalan.
“Kita juga jangka terima laporan tentang kedudukan terkini dan tindakan-tindakan yang telah diambil, setakat mana ia berkesan kerana kerajaan hendak pastikan harga itu tidak melebihi harga siling yang ditetapkan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai antara intipati mesyuarat Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi yang berlangsung esok selepas merasmikan cawangan ke-99 Richiamo Coffee, di sini hari ini.
Pada 29 Jun lalu, mesyuarat Jemaah Menteri bersetuju menubuhkan jawatan kuasa tersebut bagi membantu Keluarga Malaysia menghadapi cabaran peningkatan kos sara hidup.Perdana Menteri,
Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pasukan khas itu berperanan mengumpulkan semua maklumat daripada kementerian, agensi dan orang ramai bagi merangka strategi serta mengkoordinasi tindakan menyelesaikan isu-isu berkaitan inflasi khususnya mengawal kenaikan harga barang dengan lebih efisien dan berkesan.
Sementara itu, mengulas mengenai Richiamo Coffee, Mustapa berkata, beliau berbangga dengan pencapaian dan perkembangan perniagaan tersebut yang kini sudah mempunyai keseluruhan 105 cawangan di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak.
“Saya difahamkan ia berkembang pesat dan mendapat sambutan hangat terutama dalam kalangan anak muda berikutan harganya yang berpatutan selain menawarkan pelbagai pilihan kopi,” katanya. – UTUSAN










