Memang ada kartel ayam, MyCC akan umumkan

Kerajaan tidak nafikan kartel ayam wujud, MyCC akan umumkan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak menafikan wujudnya kartel ayam dalam kalangan 20 syarikat pengeluar ayam pedaging utama, yang menjadi salah satu punca kepada kenaikan harga makanan ayam.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, ia berdasarkan hasil siasatan yang dilakukan oleh Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC).

ALEXANDER NANTA LINGGI

“Memang kita difahamkan ada masalah yang dikatakan (kartel ayam) tapi secara terperinci nanti biar kita tunggu MyCC buat pengumuman.

“Saya difahamkan MyCC sudah siap kajian dan segala siasatan, cuma oleh kerana MyCC adalah suruhanjaya, saya tidak sepatutnya mendedahkan apa yang telah ditemui dalam siasatan.

“MyCC akan meneliti dan memperhalusi segala prosedur operasi standard (SOP) untuk mereka kemudiannya mendedahkan kepada umum,” katanya dalam sesi jawab lisan di Dewan Rakyat.

Laporan muka depan Utusan Malaysia mengenai kartel ayam.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Seri Ahmad Maslan (BN-Pontian) mengenai hasil siasatan MyCC sama ada wujud kartel daripada 20 syarikat pengeluar utama ayam di negara ini.

Bagaimanapun, Alexander menjelaskan, kementeriannya sedang menjalankan pemantauan ke atas 20 syarikat pengeluar ayam pedaging utama yang merangkumi tiga syarikat integrator dan 17 syarikat bukan integrator.

“Pemantauan ini dilakukan bagi mengesan lebih awal risiko-risiko gangguan bekalan ayam pedaging di peringkat pengeluaran supaya tindakan sewajarnya dapat diambil bagi memastikan bekalan ayam di pasaran sentiasa stabil,” katanya.

Pada masa sama, katanya, kementeriannya turut membuat unjuran pengeluaran ayam dilakukan setiap bulan bagi membolehkan pihaknya merangka pelan tindakan sewajarnya sekiranya berlaku kekurangan bekalan ayam di pasaran.

Katanya, ini termasuk melakukan pemeriksaan harian bagi memantau kedudukan bekalan dan keberadaan ayam dan telur di setiap rantaian pengedaran iaitu di peringkat pengeluar, pemborong dan peruncit.

“Kita juga mengeluarkan arahan kepada peruncit untuk memperbaharui stok bekalan yang ada di premis masing-masing dan menghubungi pemborong dan pengeluar jika stok mereka jatuh ke tahap pesanan semula.

“Sebagai kementerian yang bertanggungjawab untuk memastikan bekalan ayam dan telur kembali stabil, kita akan terus mengadakan sesi libat urus bersama pemain industri dan agensi-agensi kerajaan yang terlibat bagi mengenalpasti punca dan mencari kaedah penyelesaian yang adil dan kondusif bagi memastikan isu kekurangan bekalan telur ayam ketika ini dapat diatasi segera,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.