MELAKA: Fasiliti kesihatan di negeri ini memerlukan hospital sub pakar jantung diwujudkan bagi menyelesaikan isu jangka masa menunggu janji temu yang terlalu lama dalam kalangan pesakit jantung di Melaka.
Perkara itu dibangkitkan Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Anti Dadah negeri, Dr. Muhamad Akmal Saleh berkata, situasi itu turut menyebabkan ada dalam kalangan pesakit terpaksa dihantar ke Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur dan Hospital Serdang, Selangor kerana hospital swasta di Melaka juga tidak mampu menampung keperluan.
“Penyakit jantung masih lagi menjadi penyakit nombor satu yang membunuh rakyat Malaysia. Ramai pesakit di hospital kerajaan mahupun swasta dalam Melaka terutamanya, terpaksa menunggu janji temu agak lama.
“Disebabkan di Hospital Melaka tidak terdapat sub kepakaran jantung, walaupun ada kes dihantar ke hospital swasta tetapi jumlah katil dan kepakaran masih lagi tidak mencukupi.
“Jadi, antara impian dan hasrat kerajaan negeri adalah untuk melihat hospital sub pakar jantung diwujudkan di Melaka yang akan dilaksanakan secara kerjasama. Antara kerajaan negeri dan juga pihak swasta,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah Muhamad Akmal, perancangan berkenaan dijangka dapat direalisasikan dalam beberapa tahun akan datang.
“Saya berkesempatan untuk ke Cardiac Vascular Sentral Kuala Lumpur (CVSKL) untuk mengadakan lawatan dan perbincangan lebih lanjut agar hasrat dan impian rakyat Melaka ini dapat dicapai,” jelasnya. – UTUSAN










