LARUT: Polis percaya suspek kes samun bersenjata di sebuah kedai runcit di Taman Klebang Ria, Chemor di sini Ahad lepas masih berada dalam negara.
Ketua Polis Perak, Noor Hisam Nordin berkata, pihaknya sedang giat mengesan suspek yang dipercayai mempunyai kaitan dengan beberapa kejadian jenayah di negeri jiran.
Menurut beliau, siasatan masih diteruskan termasuk meneliti rakaman video kejadian yang tular serta maklumat risikan yang diperoleh bagi membantu usaha mengesan suspek.
“Suspek masih lagi bebas dan belum berjaya ditangkap. Setakat ini, kita mengesyaki mereka mempunyai kaitan dengan beberapa kejadian di negeri jiran.
“Kita juga sedang berkolaborasi dengan pihak polis dengan negeri-negeri jiran bagi meneliti kemungkinan wujud kaitan dengan kes-kes lain,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis serah terima tugas Ketua Polis Daerah Selama, hari ini.
Noor Hisam bagaimanapun enggan mendedahkan butiran lanjut mengenai pergerakan suspek.
“Ada maklumat mengatakan suspek berada di sekian tempat, kemudian bergerak ke tempat yang berikut sebelum kembali semula ke Perak, namun perkara itu masih dalam siasatan.
“Kita tidak mahu mendedahkan terlalu banyak maklumat kerana dikhuatiri boleh menjejaskan usaha mengesan dan menangkap suspek,” katanya.
Beliau turut memberi jaminan bahawa polis memandang serius kes tersebut kerana melibatkan ancaman terhadap keselamatan awam.
“Orang ramai tidak perlu bimbang. Kita mengambil serius kes ini dan sedang bekerja keras untuk mengesan serta menangkap suspek secepat mungkin,” katanya.
Dalam kejadian Ahad lalu, tiga suspek memasuki kedai runcit dengan membawa parang sebelum melarikan wang tunai dan beberapa barangan milik mangsa yang berusia lingkungan 20 tahun. – UTUSAN










