PUTRAJAYA: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) kini menyediakan pemindahan Lesen Memandu Angkatan Tentera Malaysia (BAT D-41) kepada lesen memandu awam buat pesara tentera tanpa sebarang kos.
Kemudahan itu diberikan secara automatik kepada anggota yang mengikuti program peralihan di bawah Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (PERHEBAT).
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, inisiatif itu dicapai menerusi kerjasama strategik yang terjalin antara Kementerian Pengangkutan (MOT) dan Kementerian Pertahanan (MINDEF).
Beliau berkata, inisiatif itu memberi kelebihan kepada pesara tentera yang berpengalaman memandu trak dan kenderaan berat ketika berkhidmat untuk terus menyertai industri logistik selepas tamat perkhidmatan.
“Sebelum ini pemegang BAT D-41 perlu melalui proses tertentu untuk mendapatkan lesen awam walaupun mempunyai pengalaman luas mengendalikan kenderaan berat.
“Sekarang ini kita buat program dan ada kerjasama strategik ini. Apabila mereka sudah ada lesen tentera dan pengalaman membawa trak, kita terus menukar kepada Lesen E.
“Untuk mendapatkan Lesen E, kosnya antara RM4,000 hingga RM5,000. Jadi menerusi program ini mereka tidak perlu mengeluarkan sebarang kos dan boleh mendapat lesen itu selepas bersara,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Kerjasama Strategik Antara MOT dan MINDEF Berkaitan TVET di sini hari ini.
Katanya, Lesen E membolehkan pemegangnya boleh mengendalikan lori kontena yang kini mendapat permintaan tinggi dalam sektor logistik negara.
Loke berkata, ramai tidak menyedari bahawa anggota tentera menggunakan lesen khas yang dikeluarkan ATM dan bukannya lesen di bawah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
“Apabila mereka bersara, lesen tentera itu tidak lagi boleh digunakan dalam sektor awam. Sebelum ini penukaran dibenarkan tetapi melalui beberapa proses tertentu.
“Sekarang kita permudahkan proses itu dan dilaksanakan tanpa kos,” katanya.
Sementara itu, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, kemudahan tersebut akan diberikan secara automatik kepada anggota yang mengikuti program peralihan di bawah PERHEBAT.
Menurut beliau, setiap tahun lebih 5,000 anggota ATM menamatkan perkhidmatan, namun tidak semuanya terlibat dalam pengendalian kenderaan berat.
“Apa juga jumlahnya, mereka yang memang bertugas membawa kenderaan menggunakan lesen tentera akan menikmati penukaran lesen secara automatik,” katanya.-UTUSAN










