PASIR MAS: Lapan lelaki terdiri daripada empat pemilik bot dan empat tekong mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan memiliki hampir 20,000 liter minyak diesel subsidi tanpa lesendi Pengkalan Nazori, Kampung Geting, Tumpat, April lalu.
Semua tertuduh membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Zulkpli Abdullah. Mereka ialah Mohd. Raffi Ramli, 47; Haziq Haiqal Bahrom, 24; Zawawi Zakaria, 48; Mohd. Shahrul Azan Ismail, 39; Mohd Zurin Yahya, 51; Muhammad Nor Haffizi Azhar, 24; Muhamad Haika Dalwis, 22; dan Ahmad Fahami Sukrie Mohamad, 33.
Mengikut pertuduhan, empat pemilik bot iaitu Mohd. Raffi, Mohd Zurin, Zawawi dan Ahmad Fahami didakwa menimbulkan syak munasabah memiliki barang kawalan berjadual berupa minyak diesel berjumlah antara 2,203.29 liter hingga 4,990.094 liter yang disimpan di dalam bot.
Perbuatan itu didakwa dilakukan antara pukul 4.53 petang hingga 4.55 petang pada 12 April lalu di dalam bot di Pengkalan Nazori, Kampung Geting, Tumpat.
Empat lagi tertuduh iaitu Haziq Haiqal, Muhammad Nor Haffizi, Muhamad Haika dan Mohd. Shahrul pula didakwa menimbulkan syak munasabah memiliki minyak diesel berjumlah antara 2,203.29 liter hingga 4,990.094 liter yang disimpan di dalam bot di lokasi dan masa yang sama.
Semua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 22(1) akta sama. Jika sabit kesalahan, mereka berdepan hukuman denda tidak melebihi RM1 juta atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali.
Mahkamah membenarkan semua tertuduh diikat jamin dengan seorang penjamin antara RM4,000 hingga RM10,000 seorang, melibatkan jumlah keseluruhan jaminan RM68,000.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Siti Edabayu Subhan bersama Pegawai Pendakwa, Muhammadi Iman Masjuri, manakala kesemua tertuduh diwakili peguam Mohd Azrul Hasyimi Mohammad.
Semua tertuduh membayar wang jaminan yang ditetapkan mahkamah. Mahkamah menetapkan 2 Julai ini sebagai tarikh sebutan semula kes. – UTUSAN










