Mayat budak 9 tahun ditemukan di Sungai Plentong - Utusan Malaysia

Mayat budak 9 tahun ditemukan di Sungai Plentong

MAYAT seorang budak yang dipercayai lemas di Sungai Plentong, Johor Bahru.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Kehilangan seorang budak lelaki berusia sembilan tahun sejak kelmarin terjawab apabila mayatnya ditemukan hari ini, dipercayai lemas di Sungai Plentong, dekat sini.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintenden Mohd. Sohaimi Ishak berkata, mayat mangsa, Rizat Muhammad Salleh ditemukan pada pukul 11.30 pagi oleh orang awam.

Semalam, pihaknya menerima laporan polis oleh ibu mangsa yang berusia 40 tahun memaklumkan anak lelakinya itu tidak pulang ke rumah sejak kelmarin.

“Ibu mangsa membuat laporan pada pukul 6.49 petang semalam memaklumkan anaknya tidak pulang ke rumah setelah keluar sejak pukul 3 petang, Jumaat lalu. Namun, pada pukul 11.30 pagi hari ini, Balai Polis Plentong menerima makluman awam bahawa terdapat satu mayat ditemukan lemas di kawasan Sungai Plentong,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Kes tersebut diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan mayat dibawa ke Hospital Sultan Ismail (HSI) untuk bedah siasat.

Sementara itu, bapa mangsa, Muhammad Salleh Abdullah, 51, berharap pihak polis dapat membantu merungkai punca sebenar kejadian itu.

“Rizat tidak pandai berenang. Jadi, saya cuma mahu tahu apa yang berlaku, adakah dia terjatuh sendiri atau ada sebab-sebab lain sehingga perkara itu menimpanya.

“Walaupun berasa sedih dan terkejut, saya tetap berasa lega kerana keberadaannya sudah diketahui dan kini saya berharap polis dapat membantu mencari punca sebenar kejadian,” katanya kepada Utusan Malaysia di Flat Diasi, di sini.

Muhammad Salleh memaklumkan sebelum mayat anak keempat daripada lapan beradik itu ditemukan, dia terlebih dahulu telah pergi ke sungai tersebut kerana terasa seperti ‘dipanggil’ untuk ke lokasi berkenaan.

“Pagi tadi, dalam pukul 8 pagi saya pergi ke sungai itu dan dalam hati seperti berkata ‘Rizat ada dekat sini’. Saya kemudian pulang ke rumah sebelum tidak lama mendapat panggilan telefon daripada seorang rakan yang memberitahu Rizat sudah ditemui dan benar, di lokasi saya kunjungi pagi tadi,” katanya.

Dia yang bekerja sebagai kontraktor dimaklumkan isterinya, Rashidah Hassan bahawa Rizat belum pulang semasa sampai di rumah pada pukul 7.30 malam.

“Kami sekeluarga berusaha mencari dia dan bertanyakan dua rakannya yang diketahui ada bersama-samanya pada hari kejadian. Namun, pelik apabila kedua-dua rakannya enggan bekerjasama dan memberitahu di mana Rizat berada, sebaliknya mengunci pintu kediaman masing-masing hingga ke hari ini,” ujarnya.

Muhammad Salleh berkata, pihaknya bukan bertujuan untuk menyalahkan sesiapa, sebaliknya hanya mahu mendapatkan kepastian apa sebenarnya yang berlaku sehingga anaknya lemas di sungai berkenaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.