Maritim Malaysia tahan bot tangguk siput retak seribu secara haram - Utusan Malaysia

Maritim Malaysia tahan bot tangguk siput retak seribu secara haram

TIGA suspek melibatkan seorang tekong dan dua kru ditahan menerusi pemeriksaan dilakukan Maritim Malaysia di perairan Kuala Perlis, Perlis semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menahan sebuah bot fiber yang disyaki terlibat dalam aktiviti menangguk siput retak seribu secara haram di kawasan perairan negeri ini, semalam.

Pengarah Zon Maritim Kuala Perlis, Komander Maritim Mohd Hashim Mat Zain berkata, penahanan bot berkenaan dilakukan pada kedudukan 0.8 batu nautika dari barat daya Sungai Bharu di sini sekitar pukul 1.40 pagi melibatkan seorang tekong dan dua kru.

Menurutnya, Maritim Malaysia turut merampas set sangkar besi berupa tangguk siput dan hasil laut siput retak seribu seberat 500 kilogram.

“Anggaran nilai keseluruhan rampasan termasuk sangkar besi dan siput retak seribu adalah sekitar RM1,500,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mohd Hashim berkata, hasil pemeriksaan dilakukan pihaknya mendapati bot nelayan yang berpangkalan di Kuala Kedah itu disyaki melakukan pelbagai kesalahan antaranya membabitkan Akta Perikanan 1985 Seksyen 8 (b) kerana melanggar syarat lesen dikeluarkan.

Katanya, tiga suspek yang ditahan dalam pemeriksaan berusia antara 18 hingga 51 tahun malah bot dan hasil tangkapan mereka juga dibawa ke jeti Zon Maritim Kuala Perlis untuk tindakan lanjut.

“Penahanan ini dibuat selepas kita menerima aduan awam berkaitan aktiviti itu yang giat dilakukan di kawasan perairan negeri ini,” katanya.

Jelas Mohd Hashim, kegiatan menangguk siput di perairan Kuala Perlis merupakan satu kesalahan berikutan Jabatan Perikanan negeri ini tidak mengeluarkan sebarang lesen bagi aktiviti itu.

“Aktiviti ini boleh menyebabkan habitat ekosistem marin terjejas dalam jangka masa panjang di samping mengancam pembiakan benih ikan di dasar laut,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya