LTAM mulakan penerbangan pertama 12 Ogos - Utusan Malaysia

LTAM mulakan penerbangan pertama 12 Ogos

MUHAMMAD JAILANI KHAMIS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka (LTAM), Batu Berendam di sini akan kembali beroperasi selepas sepi tanpa penerbangan komersial bermula 12 Ogos depan, kata Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan negeri, Datuk Muhammad Jailani Khamis.

Beliau berkata, Batik Air yang sebelum ini dikenali dengan nama Malindo Air akan memulakan operasi penerbangan menggunakan pesawat ATR-72 dari Pekanbaru, Indonesia ke LTAM dengan jadual penerbangan dijangka tiga kali seminggu.

Katanya, penerbangan Batik Air itu akan bermula dari Subang ke Pulau Pinang, Melaka dan Pekanbaru.

Selain Batik Air katanya, dua buah syarikat lain juga telah menyatakan minat menggunakan LTAM untuk tujuan komersial.

“Syarikat Straits Connect (M) Sdn. Bhd. berhasrat menyediakan penerbangan sewa khas dari LTAM ke Jakarta, Indonesia dan jadual penerbangannya dijangka bermula pada pertengahan Ogos ini.

“Syarikat World Asia Logistics (M) Sdn. Bhd. pula ingin menjadikan LTAM sebagai hab kargo utama di Malaysia dan perkara tersebut masih di peringkat perbincangan bersama Malaysia Airport Holding Berhad (MAHB),” katanya dalam sidang akhbar di Pejabat Tourism Melaka di sini hari ini.

Muhammad Jailani berkata, pembukaan semula LTAM secara tidak langsung dapat menarik semula lebih ramai pelancong kesihatan terutama dari Riau, Indonesia.

“Bersempena dengan pengaktifan semula penerbangan Batik Air ke Pekanbaru dan Pulau Pinang, ia secara tidak langsung akan merancakkan kembali industri pelancongan di negeri ini yang terkesan selama dua tahun akibat penularan Covid-19.

“Harga tiket penerbangan yang ditawarkan bermula daripada RM299 sehala Melaka-Pekanbaru manakala RM199 sehala bagi penerbangan Melaka-Pulau Pinang,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya