Lompat parti hilang kerusi

Lompat parti hilang kerusi

ISMAIL Sabri Yaakob membentangkan Rang Undang-Undang Anti Lompat Parti di Dewan Rakyat untuk bacaan kali kedua, semalam. -IHSAN/JABATAN PENERANGAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Selepas 30 tahun, kerajaan akhirnya membentangkan Rang Undang-Undang Anti Lompat Parti yang menghalang wakil rakyat bertukar parti atau menjadi wakil bebas.

Ahli Parlimen yang melompat parti ke parti politik lain di dalam gabungan sama atau berbeza akan terlucut keanggotaannya sebagai ahli Dewan Rakyat jika Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) (No. 3) 2022 diluluskan di Parlimen

Itu antara ketetapan oleh Jawatankuasa Pilihan Khas Menimbang RUU berkenaan mengenai peruntukan ahli Dewan Rakyat bertukar parti yang dibentangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semalam.

Beliau berkata, perundangan larangan ahli Dewan Rakyat bertukar parti tidak akan terpakai secara retrospektif iaitu ia bermakna pelaksanaannya bermula dari tarikh kuat kuasa akta berkenaan.

“Bagaimanapun, keanggota­an ahli Dewan Rakyat dalam parti gabungan tidak akan diambil kira kerana persoalan dasar utama yang menjadi asas dalam penggubalan rang undang-undang ini adalah keahli­an seorang ahli Dewan Rakyat dalam parti politik.

“Penggunaan simbol parti politik atau simbol parti gabu­ngan tidak akan diambil kira dalam rang undang-undang ber­kaitan dengan larangan lompat parti,” katanya semasa membacakan rang undang-undang itu untuk kali kedua di Dewan Rakyat semalam.

Penggulungan perbahasan rang undang-undang oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Parlimen), Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar berlangsung hari ini (Khamis).

Perbahasan mengenai isu lompat parti selepas keputusan pilihan raya timbul semula pada 1992 berikutan tuntutan mahkamah dibawa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Pinang,Nordin Salleh terhadap DUN Kelantan yang meluluskan peruntukan menghalang ADUN bertukar parti.

Pada 3 April 1992, Mahkamah Agung memutuskan keputusan DUN Kelantan meluluskan enakmen mengharamkan lompat parti adalah tidak berperlembagaan.

Mahkamah memutuskan ba­hawa undang-undang sedemikian melanggar Artikel 10 (1)(c) Perlembagaan Persekutuan kerana ia menjejaskan hak untuk kebebasan berpersatuan.

Ismail Sabri berkata, hak dan status ahli Dewan Rakyat tidak terhenti sekiranya parti politiknya terbubar atau dibatalkan pendaftarannya.

Ahli Dewan Rakyat yang dilantik dipilih sebagai Yang Dipertua Dewan Rakyat tidak gugur status sebagai ahli Parlimen. Ahli Parlimen yang dipecat oleh parti juga mengekalkan status sebagai wakil rakyat.

Bagaimanapun, ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim (PKR) dalam perbahasannya berkata, rang undang-undang itu tidak bersifat menyeluruh kerana tiada peruntukan siasatan atau tindakan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap ahli Parlimen atau Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang telah keluar parti selepas mereka ditawarkan jawatan dan wang ringgit.

“Ini soal maruah dan integriti ahli Parlimen hingga ada diwar-warkan sebagai ahli Parlimen untuk dijual. Yang harus diperhatikan adalah isu-isu rasuah, sogokan dan penipuan. Namun, pindaan ini menggambarkan ada sesuatu yang salah.

“Kalau tidak kenapa nak pinda Perlembagaan? Mengapa nak hentikan cerita khianat, belot dan tipu ini? Ini kerana isu maruah dan integriti ahli Parlimen. Janji kepada rakyat, kemudian tukar parti, dan tukar itu atas alasan apa? Alasan wang dan jawatan dan ini harus disiasat,” tegasnya.

Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal (Warisan-Semporna) berkata, banyak kesamaran dalam rang undang-undang yang mesti dijelaskan sebelum dikuatkuasa tanpa sebarang ma­salah.

“Rang undang-undang ini bukan hanya bila dibentang di Parlimen, bukan berbentuk punitif untuk mengelakkan ke­ja­dian lompat-melompat ber­laku, tapi mesti ada bentuk mencegah kemerosotan (deteriorate deterrence),” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN