Laungan azan selamat pemancing hanyut

Laungan azan selamat pemancing hanyut

SEORANG pemancing yang selamat sujud syukur sejurus tiba di Jeti Maritim Malaysia Kuala Terengganu, Terengganu, semalam. –Mingguan/PUQTRA HAIRRY ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: “Alhamdulillah, selepas setengah jam saya melaungkan azan, sebuah bot nelayan tiba-tiba datang ke arah kami.”

Itu kata Zairi Nuruddin, 50, salah seorang daripada 10 pemancing dan tiga kru yang terselamat dalam kejadian bot hilang di perairan Terengganu sejak seminggu lalu.

Menurutnya, dia sudah hilang harapan untuk pulang ke pangkuan keluarga dengan selamat selepas gagal mendapatkan sebarang bantuan selama enam hari.

“Kami menaiki bot tersebut untuk memancing pada Sabtu lalu, tetapi, enjin bot itu mengalami kerosakan pada Ahad dan majoriti bot yang lalu-lalang adalah bot nelayan Vietnam menyebabkan mereka tidak mahu berhenti memberi bantuan.

“Hanya Allah yang tahu perasaan kami setelah berusaha dengan pelbagai cara termasuk membakar tayar dan kain, namun, semua usaha itu sia-sia.

“Saya sudah terfikir ajal saya mungkin di tengah laut. Hanya amalan solat sunat dan berdoa sepanjang masa dapat menyembunyikan perasaan sedih ketika itu.

“Kira-kira 7 pagi kelmarin, saya tergerak hati untuk melaungkan azan selepas kehairanan tiada bantuan diberi walaupun banyak bot yang nampak kami,” katanya ketika ditemui di Pejabat Maritim Malaysia Terengganu di sini, semalam.

Zairi berkata, bot nelayan tempatan yang dikemudi tekong warganegara Thailand itu kemudian menunda bot mereka ke Pelantar Cendor sebelum diselamatkan bot peronda KM Redang milik Maritim Malaysia Terengganu.

“Sepanjang 20 tahun meman­cing, ini pengalaman yang tidak dapat dilupakan. Ketika cuaca buruk dengan ombak setinggi empat meter, tiada apa yang boleh dibuat selain berdoa.

“Kami juga terpaksa berjaga secara bergilir-gilir bagi memastikan bot tidak hanyut lebih jauh atau tenggelam kerana ada sedikit kebocoran selain tali sauh yang pernah terputus,” katanya.

Pengarah Maritim Terengganu, Kepten Maritim Muhammad Suffi Mohd. Ramli, berkata, kesemua mangsa dan bot mereka selamat tiba di Jeti Maritim Kuala Terengganu di sini pada pukul 9 pagi selepas ditunda bot peronda KM Redang lebih 12 jam.

“Bot peronda KM Redang berjaya menemukan kesemua mereka dalam keadaan selamat pada pukul 8 malam, Jumaat lalu, namun proses membawa pulang berdepan kesukaran kerana cuaca buruk,” katanya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya