TUMPAT: Seorang lelaki tempatan positif dadah ditahan Pasukan Gerakan Am (PGA) semasa membawa sembilan pendatang asing tanpa izin (PATI) dalam serbuan di Bandar Baru Pasir Pekan di sini semalam.
Dalam serbuan pukul 5 pagi itu, kesemua PATI yang ditahan itu terdiri daripada enam warganegara Bangladesh dan selebihnya Myanmar.
Komander Briged Tenggara Senior Asisten Komisioner Ahmad Radzi Hussain berkata, bertindak atas maklumat risikan berkaitan penyeludupan migran anggota bertugas telah mengesan sebuah kereta jenis Proton Iswara Aeroback yang dipandu dalam keadaan mencurigakan telah berhenti di belakang sebuah kedai di kawasan Bandar Baru Pasir Pekan.
Katanya, anggota PGA kemudian bertindak menahan kereta tersebut dan memperkenalkan diri sebagai anggota polis untuk melakukan pemeriksaan lanjut.
“Hasil pemeriksaan mendapati enam warganegara Bangladesh mempunyai pasport tetapi tidak mempunyai pas lawatan untuk memasuki Malaysia. Tiga lagi warganegara Mynamar tidak mempunyai sebarang dokumen untuk memasuki Malaysia.
“Kesemua PATI ini disyaki masuk ke negara ini menggunakan laluan tidak sah melalui Thailand,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Ahmad Radzi memberitahu, saringan air kencing ke atas suspek berusia 24 tahun itu mendapati dia positif dadah jenis meth.
Katanya, sekitar pukul 5.05 pagi, PGA menahan dua perempuan masing-masing berusia 17 dan 18 tahun yang menaiki sebuah motosikal jenis Yamaha Y15ZR sebaik sahaja tiba di lokasi serbuan.
“Pemeriksaan ke atas telefon bimbit salah seorang perempuan berkenaan mendapati terdapat komunikasi di antara dia dengan tekong darat berkenaan.
“Hasil soal siasat, tekong darat itu mengaku mengambil PATI tersebut Kampung Laut dan mengantarnya ke Wakaf Bharu sebelum dibawa oleh individu lain yang tidak dikenalinya,” ujarnya.
Ahmad Radzi berkata, suspek mendedahkan segala urusan tersebut diatur oleh individu bernama ‘Jef’ yang tinggal di Thailand dan menerima upah sebanyak RM100 untuk setiap seorang PATI yang dibawa.
Katanya, salah seorang perempuan yang ditahan memaklumkan dia berperanan sebagai ‘riki jalan’ bagi membantu urusan penghantaran PATI dengan menerima bayaran sebanyak RM 150 daripada tekong darat tersebut.
Ujarnya, bagaimanapun seorang lagi perempuan yang ditahan memberitahu dia hanya menemani rakannya semasa melakukan aktiviti ‘riki’ bagi urusan penghantaran PATI.-UTUSAN










