KUANTAN: Terbiar usang lebih 10 tahun lalu sehingga menyeramkan penduduk.
Demikian ‘nasib’ satu blok kuarters pendidikan yang dibina dengan kos jutaan ringgit di Felda Bukit Goh di sini, menjadi antara contoh kuarters guru yang terbiar dan turut dilaporkan di beberapa negeri lain.
Keadaan bangunan empat tingkat itu cukup menyedihkan sehingga ditumbuhi pokok besar di tingkat dua dan berkulat akibat tiada penyelenggaraan.
Difahamkan, kawasan kuarters terbiar tersebut menjadi sarang penagih dadah dan dimasuki pencuri sehingga kipas, lampu, kepala paip, jeriji serta peralatan lain dicuri dan dirosakkan.
Lokasi terbabit juga difahamkan turut menjadi ‘port’ kaki judi dan tempat maksiat membabitkan remaja di situ.
Difahamkan, kuarters pendidikan berkenaan dibina lebih 20 tahun lalu dan terbiar lebih 10 tahun menyebabkan ia kini menjadi usang dan terbiar.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Kemakmuran Kampung (JKKK) Felda Bukit Goh, Ahmad Faizal Ramli berkata, kuarters terbabit sebelum ini pernah didiami kakitangan pendidikan yang bertugas di daerah ini.
“Difahamkan isu kuarters ini mula ditinggalkan kerana masalah tekanan air rendah dan tiada penyelenggaran jika berlaku kerosakan. Ini rungutan oleh para guru sendiri sebab saya pernah berbual dengan guru yang pernah tinggal di situ,” katanya di sini semalam.
Ahmad Faizal berkata, beliau juga ada mendengar cerita tentang suasana seram di kuarters berkenaan.
“Ada penduduk pernah berkongsi cerita kehadiran makhluk halus di situ. Mereka mendakwa melihat jelmaan dan kelibat di kuarters itu,” katanya.
Sementara itu, generasi kedua Felda Bukit Goh, Jefri Salim berkata, di kuarters itu bermulanya ‘port’ murid dan pelajar Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Goh dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Felda Bukit Goh belajar ponteng dan menghisap rokok.
Beliau dalam pada itu berkata, pihak berwajib sepatutnya melakukan kerja pembersihan dan penyelenggaran secara berkala untuk memastikan kawasan tersebut terurus.
KUARTERS GURU MENYERAMKAN
Sementara itu di Jempol, Negeri Sembilan, isu kuarters guru yang daif dan terbiar turut berlaku di Felda Palong 2 dan hasil tinjauan Utusan Malaysia mendapati, bangunan kuarters setinggi empat tingkat itu kelihatan tidak terjaga.
Bahkan, ada penduduk yang tinggal berhampiran juga memberitahu, bangunan berkenaan kelihatan ‘menyeramkan’ terutama pada waktu malam apatah lagi tingkat tiga dan empat kuarters tersebut tidak berpenghuni.

Menurut seorang penduduk yang enggan dikenali berkata, bangunan empat tingkat tersebut mempunyai dua blok yang menawarkan sebanyak 16 unit kediaman di mana setiap tingkat terdapat dua buah rumah.
“Hanya tujuh buah rumah sahaja yang berpenghuni itupun di tingkat satu dan dua, di tingkat tiga dan empat pula tiada yang duduk.
Kadangkala ada bau busuk disebabkan bangkai haiwan di tingkat atas dan ia tidak dibersihkan.
“Banyak tingkap juga yang pecah dan lopong serta di bahagian atas, terdapat pokok renek yang sudah tumbuh,” katanya.
Menurut penduduk itu, penempatan tersebut bukan hanya buat warga pendidik di kawasan Felda tersebut, tetapi juga buat guru serta warga sekolah yang bertugas di Felda berdekatan.
“Kalau rumah yang ada penghuni memang bersih bahagian dalamnya, cuma bagi rumah yang sudah lama tidak diduduki memang banyak kerosakkan yang perlu diperbaiki termasuk sistem pendawaian elektrik.
“Cat bangunan juga sudah kelihatan kotor, pudar, berkulat, serta perlu dicat semula bagi mengelak penempatan ini digelar seram oleh orang lain,” katanya.
Selain itu menurutnya, di Felda itu juga terdapat empat buah rumah kuarters guru sekolah menengah yang kesemuanya berpenghuni dan kelihatan lebih terurus walaupun ia lebih lama disediakan berbanding kuarters empat tingkat berkenaan.
Di Bagan Datuk, Perak pula, sebuah kuarters guru di Sungai Sumun yang tidak lagi dihuni dan terbiar menyebabkan keadaannya menyeramkan.

Di kuarters itu terdapat dua blok bangunan yang dikatakan siapkan 25 tahun lalu namun kosong tanpa penghuni.
Menurut seorang penduduk berdekatan kuarters itu yang hanya mahu dikenali David, 64, unit-unit di kuarters itu pernah dihuni oleh tiga buah keluarga beberapa tahun lalu namun mereka kemudiannya pindah menyebabkan tiada lagi guru yang tinggal di situ.
Katanya, guru yang berpindah keluar dari kuarters itu dan menyewa rumah lain di luar dengan alasan mengalami pelbagai gangguan misteri.
“Mereka kata tak boleh tidur malam disebabkan pelbagai gangguan seperti pintu terbuka sendiri dan bermacam-macam bunyi. Apabila ada yang pindah, yang lain-lain pun turut berpindah menyewa rumah di luar.
“Sejak itu kuarters guru ini terbiar, keadaannya sangat menakutkan, kelihatan menyeramkan bagi sesiapa yang melalui di depan kuarters ini,” katanya.
Seorang penduduk yang dikenali sebagai Harif, 48, kesal melihatkan keadaan kuarters itu yang terbiar sedangkan kerajaan berbelanja berjuta-juta ringgit untuk membinanya.
TIMBUL PERSOALAN
Di Bagan Serai, Perak, keadaan kuarters guru tidak dihuni menimbulkan pertanyaan dalam kalangan masyarakat berikutan keadaannya yang semakin usang akibat terbiar.
Difahamkan, di Bagan Serai terdapat 183 unit rumah di tiga buah kuarters guru.
Kuarters-kuarters tersebut ialah Kuarters Institusi Pendidikan yang terletak bersebelahan Sekolah Kebangsaan (SK) Matang Jelutong yang mempunyai 96 unit rumah.
Dua lagi ialah kuarters guru di Simpang Empat Semanggol yang mempunyai 65 unit rumah manakala sebuah lagi ialah kuarters di Gunung Semanggol yangmempunyai 22 unit rumah.
Tinjauan Utusan Malaysia di Kuarters Institusi Pendidikan bersebelahan SK Matang Jelutong mendapati 96 unit rumah di kuarters itu tidak berpenghuni.
Biarpun jaraknya hanya lima kilometer dari pusat bandar, tidak diketahui punca kuarters yang mempunyai tiga bilik tidur dengan dua bilik air tidak dihuni oleh warga pendidik.
Menurut seorang penduduk yang enggan dikenali berkata, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kerian perlu mengambil inisiatif membersihkan seluruh kawasan yang dipenuhi semak samun itu.
DUA BANGUNAN KIP USANG, TERBIAR
Dalam pada itu, dua bangunan Kuarters Institusi Pendidikan (KIP) di Kampung Kedai Buluh di Kuala Terengganu berada dalam keadaan usang selepas dibiarkan tidak berpenghuni sejak hampir 10 tahun lalu.

Tinjauan Utusan Malaysia, mendapati, sebahagian struktur bangunan empat tingkat itu mengalami kerosakan kerana tidak diselenggara.
Menurut salah seorang penduduk yang mahu dikenali Shukri, 52, berkata, kuarters itu pernah menempatkan guru-guru Sekolah Kebangsaan (SK) Kedai Buluh sebelum guru yang menghuni di bangunan itu berpindah dan menyewa di luar.
Katanya, sebanyak 32 unit kediaman di kuarters tersebut telah dinaiki semak samun dan sering menjadi lokasi aktiviti tidak bermoral sebelum kawasan tersebut dibersihkan pada April lalu.
“Sejak Ramadan lalu, difahamkan terdapat kontraktor pembersihan yang menghantar pekerja mereka untuk membersihkan kawasan kuarters setiap hari untuk tempoh dua tahun.
“Keadaan usang dan kotor kini berubah semakin baik. Sebelum ini kuarters itu merupakan tempat pelbagai aktiviti tidak sihat sehingga menjejaskan kebersihan dan keselamatan penduduk,” katanya.
Seorang peniaga makanan, Halimah Johar, 55, berkata, bangunan terbabit sepatutnya dibaik pulih dan disewakan kepada golongan yang memerlukan kediaman.
“Tidak perlu merobohkan bangunan ini, sebaliknya pihak kerajaan hanya perlu menjalankan proses penyelenggaraan air dan elektrik serta kerja-kerja mengecat baharu. Kos membaik pulih bangunan itu mungkin menelan belanja yang tinggi tetapi kesannya cukup baik kepada rakyat,” katanya. – UTUSAN










