Kontraktor utama: Selamatkan kami - Utusan Malaysia

Kontraktor utama: Selamatkan kami

Kerajaan diminta membantu kontraktor utama yang kini banyak dalam keadaan nyawa-nyawa ikan kerana tidak mendapat projek sejak tiga hingga lima tahun. - Gambar hiasan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEMERLOH: Sebanyak 30 peratus atau 5,265 daripada 17,550 kontraktor utama daripada kelas G5 hingga G7 di seluruh negara berisiko ‘gulung tikar’ kerana tidak menerima projek sejak tiga hingga lima tahun lalu.

Keadaan itu berlaku ekoran pandemik Covid-19, ekonomi yang tidak menentu, kenaikan kos bahan binaan serta kekurangan buruh.

Bercakap kepada Mingguan Malaysia, Naib Presiden Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM), Abd. Gapar Lambak berkata, ketika ini, banyak syarikat tidak berupaya bersaing merebut tender projek yang ditawarkan kerana mereka tidak mampu memenuhi syarat-syarat wajib khususnya dari segi dokumen kewangan.

Menurut beliau, susulan itu kontraktor terbabit kini ibarat ‘hidup segan mati tak mahu’ dan perlu diselamatkan untuk pulih atau paling kurang bertahan ketika ekonomi suram.

“PKMM mencadangkan agar kontraktor G5 hingga G7 yang lebih tiga tahun tidak mendapat projek, ditawarkan projek one off oleh kerajaan,” katanya baru-baru ini.

Tambahnya, ia perlu dilakukan secara undian dengan nilai projek yang dirasakan munasabah dengan kaedah yang praktikal tanpa perlu mengikut nilai gred kontraktor terbabit.

Jika situasi itu tidak berubah dan tiada bantuan kerajaan, situa­si ‘gulung tikar’ yang membabitkan 50,000 kontraktor berlesen darpada kelas G1 hingga G4 sebelum ini akan berjangkit kepada kontraktor G5 hingga G7.

Kontraktor G5 hingga G7 membabitkan kumpulan kontraktor besar yang berkeupayaan menjalankan projek serendah RM5 juta sehingga projek tanpa had.

Penyata bank

Abd. Gapar juga mencadang­kan kerajaan mengecualikan penyata bank kontraktor terlibat dalam masa setahun ke dua tahun.

“Ini kerana, ramai antara kontraktor terbabit berkemampuan untuk melaksanakan kerja, tetapi tidak mampu membuktikannya kerana penyata bank tidak kuat,” katanya.

Dalam perkembangan sama, beliau yang juga Yang Dipertua PKMM Pahang berkata, jika harga bahan binaan terus mencatatkan kenaikan dan kekurangan 40 peratus pekerja dalam industri ini berlarutan, tidak mustahil jumlah kontraktor akan berkurangan kerana ramai terpaksa gulung tikar.

“Jadi selain kontraktor G5 hingga G7 yang nyawa-nyawa ikan ini, kerajaan juga perlu bantu kontraktor yang sedang laksanakan pembinaan.

“Terima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob kerana mengumumkan 11 lagi bahan binaan di bawah perubahan harga atau variation of price (VOP) daripada hanya empat bahan binaan sebelum ini.

“Ia penting bagi projek kerja berikutan peningkatan ketara kos bahan binaan ketika ini. Jika tidak, projek yang dilaksanakan akan lewat siap dan terbengkalai,” katanya.

Mendadak

Berhubung kenaikan mendadak harga bahan binaan ketika ini, beliau berkata, VOP adalah penyelesaian terbaik.

“Selain itu, Jabatan Kerja Raya (JKR) perlu kerap membuat Jadual Kerja Harga (JKH) sekurang-kurangnya sekali setahun memandangkan harga barang naik ibarat seperti Bursa Saham Kuala Lumpur (BSKL).

“Kerajaan perlu siasat, sebagai contoh harga besi, kerap sangat berubah. Setiap minggu berubah, pasti ada sesuatu tidak kena apabila berlaku situasi sedemikian,” katanya.

Pada 1 Julai lalu, Utusan Malaysia melaporkan hampir 50,000 daripada 126,000 kontraktor berlesen di seluruh negara terpaksa ‘gulung tikar’ selepas gagal memperbaharui lesen sejak 2018 ekoran tidak mempunyai baki akaun modal yang mencukupi mengikut kelas masing-masing.

Timbalan Presiden PKMM, Datuk Mohd. Rosdi Ab. Aziz berkata, selain itu serangan Covid-19 yang melanda negara dua tahun lalu turut mempengaruhi projek yang semakin berkurangan sehingga menjejaskan kebanyakan kontraktor kelas G1 hingga G4.

Menurut beliau, kenaikan barangan pembinaan yang tidak terkawal turut menjadi penyum­bang kepada faktor tersebut.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN