PETALING JAYA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan memanggil seorang pemimpin tertinggi UMNO dalam masa terdekat bagi membantu siasatan berhubung kenyataan yang dibuatnya yang dianggap tidak sensitif kepada masyarakat Hindu.
Mengesahkan perkara itu kepada Utusan Malaysia, Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, pemimpin yang juga ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di sebuah negeri itu akan dipanggil sebaik sahaja pihak polis selesai merakam keterangan saksi-saksi.
Kata beliau, setakat ini, polis masih dalam proses mengumpul maklumat mengenai perkara itu daripada pihak pengadu.
“Nanti selepas ambil percakapan saksi-saksi yang terlibat baru kita akan putuskan bila untuk panggil beliau bagi bantu siasatan,” katanya ringkas.
Utusan Malaysia semalam melaporkan satu siasatan akan dijalankan PDRM terhadap pemimpin berkenaan.
Siasatan itu dimulakan selepas satu laporan diterima pihak polis petang semalam.
Kes berkenaan akan disiasat mengikut Seksyen 505 (c) Kanun Keseksaan (KK) kerana mengeluarkan kenyataan dengan niat mengapi-apikan mana-mana golongan atau dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Sebelum itu, pemimpin berkenaan dalam satu wawancara dikatakan telah merujuk kepada kavadi sebagai ‘beban’ dalam menggambarkan kekalahan UMNO pada PRU14. – UTUSAN










