Kepala air: Menteri Besar didakwa lambat bertindak

Menteri Besar didakwa lambat bertindak pastikan banjir, kepala air tidak berulang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor didakwa lambat bertindak dalam memastikan insiden banjir dan kepala air yang berlaku di Kupang, Baling pada 4 Julai lalu tidak lagi berulang pada masa akan datang.

Ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR, Simon Ooi Tze Min berkata, keadaan itu cukup membimbangkan memandangkan banjir kilat sekali lagi berlaku di Baling, semalam.

SIMON OOI TZE MIN

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Masyarakat Cina dan Siam, Sains dan Teknologi, Perubahan Iklim dan Alam Sekitar ketika era Pakatan Harapan (PH) berkata, sehingga kini Muhammad Sanusi belum lagi mengumumkan tindakan yang akan diambil bagi mengatasi masalah itu.

“Pendirian dan pandangan Menteri Besar Kedah ini berbelit-belit tentang punca banjir dan kebenaran penanaman durian di kawasan hutan simpan. Maka beliau perlu menjawab beberapa persoalan secara terbuka.

“Persoalan pertama yang perlu dijawab adalah apa pendirian beliau terhadap projek pembalakan ladang hutan yang dimulakan pada zaman pemerintahan Pas sebelum ini. Adakah cara pembalakan projek ladang hutan secara ‘cuci mangkuk’ yang menyebabkan banjir,” soalnya dalam satu kenyataan di sini hari ini. 

Simon Ooi berkata, Muhammad Sanusi juga perlu menegaskan pendiriannya mengenai penanaman Musang King di kawasan hutan simpan.

“Projek ladang durian yang dimulakan bekas Menteri Besar dari UMNO, Datuk Seri Ahmad Bashah Md. Hanipah ini patut dibenarkan atau ditolak. Adakah projek ladang durian ini merupakan punca banjir? 

“Selain itu beliau juga perlu maklumkan, kawasan hutan mana lagi yang telah diberi kelulusan penanaman durian selain Gunung Inas serta berapa keluasan kawasan terlibat,” katanya. 

Tambahnya, ketika ini ramai dalam kalangan penduduk di Baling, Sik, Padang Terap, Kulim dan Bandar Baharu risau kerana berlaku pembalakan di kawasan hutan serta gunung berhampiran rumah mereka. 

“Muhammad Sanusi perlu bertindak segera dengan cara berkesan supaya kejadian sedih ini tidak berulang lagi. Kerugian yang ditanggung rakyat lebih besar daripada keuntungan pembalakan dan projek durian,” tegasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN