PETALING JAYA: Penyanyi, Ayda Jebat mengambil pendekatan untuk menghadkan penggunaan skrin terhadap anak keduanya, Aali Mateen selepas menyedari perubahan pada tingkah lakunya.
Menurut Ayda, penggunaan skrin seperti menonton televisyen (TV) atau bermain telefon pintar meninggalkan kesan negatif terhadap kelakuan anaknya berusia tiga tahun itu yang semakin kuat meragam.
“Saja mahu kongsi. Hari ini hari ke-11 Aali Mateen tak tengok TV. Tiada langsung skrin! Sebab kami perasan bila dia tengok TV, dia akan cepat mengamuk, menjerit, susah nak dengar cakap, tak fokus, nak suruh duduk sekejap pun tak boleh.
“Terlalu terangsang mungkin sebab terlalu banyak masa skrin?,” katanya di Threads.
Menerusi perkongsian tersebut, penyanyi lagu Pencuri Hati itu turut berkongsi video kelakuan putera kesayangannya yang disifatkan semakin tenang apabila didedahkan dengan aktiviti di luar.
“Saya tak tipu, sekarang nampak sangat berbeza bila tiada masa skrin. MasyaAllah, dia sudah mula bercakap, bila kita bercakap dia dengar dan respon, ikut arahan, senang nak uruskan. Kalian, cubalah kalau anak kalian cepat mengamuk. Insya-Allah menjadi,” katanya.
Dalam masa sama, Ayda berpendapat setiap ibu bapa perlu bertegas dalam mendisiplinkan anak-anak, selain mengharapkan kerjasama yang baik daripada ahli keluarga yang lain.
“Tapi memang perlu berkeras (tegas) dengan orang sekeliling termasuk datuk dan nenek mereka. Tak bolehbagi mereka tengok tv atau telefon belakang-belakang. Kalau pembantu atau pengasuh Insya-Allah mereka mendengar kata kita.
“Kita perlu tegas sikit bab ini, Alhamdulillah, keluarga bila faham, senang hari kita kerana selalu yang manjakan anak kita adalah datuk dan nenek mereka, minta apa saja, dapat,” ujarnya.









