SEREMBAN: Seorang lelaki warga Indonesia direman selama dua hari bagi membantu siasatan kes menyembunyikan kelahiran bayi yang kemudian ditanam tanpa dilaporkan kepada pihak berkuasa di Kampung Lambar, Labu, Nilai, di sini.
Ketua Polis Daerah Nilai, Superintenden Johari Yahya berkata, perintah reman terhadap suspek, berusia 31 tahun itu dibenarkan oleh Mahkamah Majistret Seremban di bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah sehingga esok.
Menurutnya, tempoh reman tersebut bagi melengkapkan siasatan termasuk mendapatkan keterangan lanjut daripada suspek.
“Permohonan reman dibenarkan selama dua hari bermula 15 April hingga 16 April bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Terdahulu, Johari berkata, penahanan lelaki itu dibuat susulan siasatan terhadap seorang wanita warga Indonesia berusia 39 tahun yang mendapatkan rawatan di Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) selepas mengalami sesak nafas serta pendarahan.
“Hasil pemeriksaan mendapati wanita tersebut mengalami komplikasi selepas melahirkan bayi kembar di rumah tanpa mendapatkan rawatan perubatan.
“Siasatan awal mendapati bayi berkenaan dilahirkan pada 3 April kira-kira pukul 9 malam dan disambut oleh seorang bidan warga Indonesia sebelum disahkan meninggal dunia,” katanya.
Menurutnya, mayat bayi lelaki itu kemudian dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Pulau pada 4 April lalu.
Tambahnya, suspek yang merupakan bapa kepada bayi berkenaan tidak membuat laporan polis serta tidak mendapatkan permit pengebumian selepas dimaklumkan oleh penggali kubur bahawa bayi yang meninggal dunia boleh terus dikebumikan.
“Mayat bayi tersebut telah digali semula dan dibawa ke Hospital Rembau untuk proses bedah siasat yang dijadualkan hari ini bagi mengenal pasti punca kematian serta status kelahiran,” katanya. – UTUSAN










