PADAWAN: Seorang lelaki warganegara Indonesia ditemukan meninggal dunia di tepi Jalan Lumba Kuda Penrissen lama di sini, pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Padawan Superintendan Mohd Irwan Hafiz Md Radzi berkata pihaknya menerima laporan daripada orang awam kira-kira pukul 8.05 pagi yang memaklumkan terdapat seorang lelaki terbaring di tempat kejadian.
“Siasatan di lokasi kejadian oleh Bahagian Siasatan Jenayah IPD Padawan dan
Forensik IPK Sarawak mendapati mangsa seorang lelaki warganegara Indonesia
berusia 37 tahun.
“Terdapat kesan kecederaan pada bahagian dahi mangsa dan disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan di lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan.
Beliau menambah punca kematian masih dalam siasatan dan kes diklasifikasikan kematian mengejut (SDR) sehingga laporan bedah siasat diperolehi.
Mohd Irwan turut meminta orang awam yang mempunyai maklumat berkenaan kejadian untuk tampil membantu siasatan atau terus menghubungi pegawai penyiasat Inspektor Muhammad Hafizin di talian 019-5040810 atau Ketua Bahagian Siasatan Jenayah IPD Padawan ASP Sylvarius Gopog di talian 013-8637241. – UTUSAN










