Kami pun sokong RUU Anti Lompat Parti - Hamzah

[Parlimen] Kami pun sokong RUU Anti Lompat Parti, jangan kata macam-macam pada kami – Hamzah

HAMZAH ZAINUDDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Ahli-ahli Parlimen Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tampil menyatakan sokongan penuh terhadap kelulusan pindaan Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (No. 3) 2022 dan mengenai peruntukan larangan ahli Dewan Rakyat bertukar parti.

Ini selepas pindaan itu diluluskan dengan undi majoriti dua pertiga ahli Dewan, dengan seramai 209 ahli Parlimen bersetuju dan 11 ahli Parlimen tidak hadir menerusi undi belah bahagian di Dewan Rakyat hari ini.

Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainuddin menegaskan, kelulusan itu menunjukkan komitmen ahli-ahli Parlimen partinya, meskipun berdepan kritikan hebat di atas tindakan mereka keluar daripada gabungan Pakatan Harapan (PH) tiga tahun lalu.

“Sebenarnya rakan-rakan saya mahu berucap dalam dewan tapi saya memohon kepada mereka supaya banyak bersabar kerana apa yang dikatakan kepada kami..Ada yang menggunakan analogi-analogi dan nama yang bukan-bukan kepada kami.

“Tapi percayalah, daripada semua yang hadir termasuk ahli-ahli Parlimen Bersatu, kami mengundi dan ini menunjukkan bahawa kami tahu undang-undang, tahu menggunakan segala undang-undang yang termaktub dalam Perlembagaan,” katanya dalam sidang media di Parlimen.

Dengan sokongan itu juga, Hamzah tidak mahu lagi mana-mana pihak menyalahkan Bersatu atau mengaitkan ahli-ahli Parlimen partinya dengan isu lompat parti, kerana beliau berpendapat pihak lain turut melakukannya sebelum ini.

“Kalau nak dikatakan tentang masalah yang timbul sebelum ini (Langkah Sheraton), jangan hanya bercakap daripada kerajaan yang ada hari ini. Ini kerajaan campuran, dengan parti-parti digabungkan.

“Dari mana asalnya mereka, tak payah dipersoalkan. Kalau kita lihat gabungan Gabungan Parti Sarawak (GPS), ia asal dari Barisan Nasional (BN) dan keluar jadi sebahagian dari kerajaan hari ini.

“Pada 2015, ada kalangan ahli parti Pas, mereka keluar selepas baiah tapi tak langgar mana-mana undang-undang negara. Jadi tak payah sebut siapa mereka.

“Pada 2018, kerajaan BN jatuh di Sabah sebab ada yang keluar sertai Warisan. Kalau Warisan beria-ia sangat tak nak keluar, tak nak lompat parti dan kalau benar, Warisan tak boleh tubuh kerajaan pada 2018, tetapi dia arah dua tiga orang BN keluar untuk bersama mereka.

“Kalau nak mengatakan siapa salah, siapa betul…maka timbul macam-macam persoalan yang ada hari ini. “Cuba kita fikirkan, kalau saya bercakap macam ini dalam dewan, apa yang berlaku…ia akan memecah belahkan lagi kami, apa yang harus kita lakukan untuk luluskan undang-undang,” katanya.

Bagaimanapun, beliau tetap mempertahankan keputusan partinya keluar daripada PH.

“Kita tetap bangga dan yakin (apa yang dilakukan) untuk kepentingan rakyat. Bila kerajaan PH jatuh, apa yang berlaku dalam 22 bulan? Berlaku ICERD, masalah perkauman…menyebabkan rusuhan, semua berlaku.

“Jadi, mereka (Bersatu) bertanggungjawab, bukan kerana kepentingan individu tapi kita menentukan supaya tidak ada lagi masalah perkauman, biar ada sebuah kerajaan yang stabil, yang sanggup menentukan masa depan lebih baik.

“Saya minta semua supaya memahami, mereka bertanggungjawab menentukan bahawa kita dapat melakukan sesuatu sehingga berjaya undang-undang ini,” katanya.

Katanya lagi, kelulusan subseksyen 4(5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 SOSMA semalam adalah persetujuan semua pihak termasuklah Bersatu, Pas, GPS mahupun UMNO.

“Kerajaan hari ini dipimpin Naib Presiden UMNO. Mana mungkin dia jadi Perdana Menteri kalau bukan kerana presiden partinya, tapi atas sokongan ahli Parlimen yang lain termasuk kami, kami beri kekuatan kepada beliau untuk menjadi Perdana Menteri.

“Maknanya, sokongan yang ada bukan sebab kita keluar atau lompat tapi tujuannya dan matlamat adalah untuk menstabilkan negara supaya negara tidak menjadi kacau bilau, supaya tidak lagi huru hara dalam negara. Kita berjuang demi kepentingan masa depan rakyat,” katanya.

Disebabkan itu, beliau tidak berpuas hati dengan sikap sesetengah pihak yang melemparkan tuduhan tertentu seolah-olah mereka adalah punca mengapa berlakunya isu lompat parti.

“Kita melihat perangai sesetengah mereka yang ada ini tak faham tentang apa perjuangan yang sebenarnya. Perjuangan ini mempunyai satu sifat yang kita cuba membantu rakyat, bukan kepentingan individu.

“Ini undang-undang baharu, sebelum ini undang-undang benarkan pindah parti jadi tak salah kepada mereka yang pindah parti sebelum ini, cuma masa depan tak boleh lagi..tetapi perjuangan kita sama, kepentingan sama perjuangan kami ini masih menentukan perjuangan kepada rakyat dan negara,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya