Polis buru empat suspek curi kabel di MRR2 - Utusan Malaysia

Polis buru empat suspek curi kabel di MRR2

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HULU LANGAT: Polis memburu empat individu yang dipercayai terlibat dalam kegiatan mencuri kabel di tepi Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2) di sini, selepas rakaman kejadian itu tular di media sosial.

Video tular itu memaparkan beberapa individu mengeluarkan dan memunggah kabel dari lurang (manhole) di tepi lebuh raya.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Khairul Anuar Khalid berkata, satu laporan telah dibuat seorang lelaki tempatan berhubung kejadian itu sehari sebelum video itu tular.

“Pengadu memaklumkan dia memberhentikan kenderaannya di tepi jalan sebelum ternampak sebuah Honda Odyssey berwarna kelabu berada di lokasi kejadian pada 4 Jun lalu kira-kira pukul 1.30 tengah hari.

“Pengadu turut melihat empat lelaki yang identiti mereka belum dikenal pasti sedang memunggah kabel yang telah dipotong pendek ke dalam kenderaan berkenaan sebelum mereka beredar,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Khairul Anuar berkata, pengadu sempat merakam kejadian itu sebelum tampil membuat laporan polis untuk tindakan lanjut.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 431A Kanun Keseksaan dan Seksyen 235 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN