BATU PAHAT: Remaja lelaki berusia 16 tahun yang merupakan suspek utama kes pembunuhan Irene Sofiya Mohd. Khairool Faisal bakal berdepan pendakwaan kerana membunuh, di Mahkamah Majistret Batu Pahat, di sini hari ini.
Difahamkan, suspek tiba di pekarangan mahkamah pada pukul 7 pagi.
Bagaimanapun, petugas media tidak dibenarkan memasuki kamar mahkamah bagi mendengar prosiding susulan tertuduh merupakan pesalah bawah umur.
Pada 3 Oktober lalu, media melaporkan Irene Sofiya ditemukan maut dipercayai mati dibunuh di dalam dewan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato’ Seth, kira-kira pukul 5.30 petang.
Ketua Polis Johor, Datuk Ab. Rahaman Arsad dilaporkan berkata, mangsa ditemukan dalam keadaan berlumuran darah dan mengalami kecederaan parah di bahagian kepala serta tubuh badannya.
Susulan itu katanya, pihaknya telah menahan reman seorang remaja lelaki berusia 16 tahun bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.-UTUSAN











