LJUBLJANA: Perdana Menteri Slovenia, Janez Jansa, memulakan penggal keempatnya dengan mengarahkan bendera Palestin diturunkan dari bangunan utama kerajaan di Ljubljana, yang sebelum ini dikibarkan selama dua tahun.
Tindakan yang dilaksanakan sejurus selepas beliau memegang jawatan pada Khamis, dilihat sebagai isyarat perubahan ketara dasar luar Slovenia ke arah pendirian lebih pro-Israel, di bawah pemimpin yang diketahui rapat dengan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump dan Israel.
Dalam hantaran di X pada Jumaat, Jansa berkata, kerajaannya akan mengamalkan dasar luar yang kononnya ‘bertanggungjawab’ dan berasaskan fakta.
Jansa sebelum ini konsisten menyokong Israel, termasuk mengkritik pengiktirafan Palestin oleh bekas Perdana Menteri, Robert Golob, sebagai tidak sah.
Beliau juga menyokong tindakan ketenteraan Israel di Gaza dan rantau sekitarnya, serta berulang kali menegaskan ‘Kami bersama Israel’.
Beliau juga pernah menyatakan Slovenia perlu memindahkan kedutaannya dari Tel Aviv ke Baitulmuqaddis, langkah yang akan bercanggah dengan konsensus antarabangsa serta undang-undang yang menganggap bandar itu sebagai wilayah diduduki.
Israel pantas menyambut perubahan pendirian tersebut.
Menteri Luar Israel, Gideon Sa’ar, mengucapkan terima kasih kepada Jansa dan berkata Israel akan membuka kedutaan di Ljubljana ‘tanpa sebarang kelewatan’.
Sementara itu, Robert Golob yang memimpin Slovenia selama empat tahun sebelum ini berulang kali menuduh Israel melanggar undang-undang antarabangsa dan melakukan ‘tindakan genosid yang jelas’ di Gaza.
Kerajaan pimpinannya turut menjadikan Slovenia negara pertama dalam Kesatuan Eropah (EU) yang mengharamkan semua perdagangan senjata dengan Israel.
“Rakyat di Gaza sedang mati kerana bantuan kemanusiaan secara sistematik dinafikan kepada mereka. Mereka mati di bawah runtuhan, tanpa akses kepada air minuman, makanan dan rawatan perubatan asas,” kata Golob pada masa itu.- AGENSI










