Integriti pentadbiran PKNM perlu ditambah baik

Integriti pentadbiran PKNM perlu ditambah baik

SERAMAI 19 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) menyokong usul RUU Enakmen Perbadanan Kemajuan Negeri Melaka pada hari kedua Sidang DUN Melaka di Seri Negeri, Ayer Keroh, Melaka. - UTUSAN/RASUL AZLI SAMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Pakatan Harapan (PH) Melaka menggesa isu integriti pentadbiran dan pengurusan dalam Perbadanan Kemajuan Negeri Melaka (PKNM) ditambah baik selari agenda pemerkasaan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) itu.

Low Chee Leong (PH-Kota Laksamana) berkata, ini kerana masih banyak aspek yang perlu diperbaiki PKNM jika mahu dibandingkan dengan GLC lain seperti Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), Johor Corporation Bhd. (JCorp) dan Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC), 

Menurutnya, berdasarkan satu surat bertarikh 12 Mei 2022, terdapat pihak yang menunjukkan minat untuk membeli lot tanah di Krubong, namun pembeli itu tidak dipanggil temu duga.

“Selain itu, banyak sumber yang dimiliki PKNM tidak digunakan secekap mungkin seperti lot-lot tanah yang masih kosong dan dipegang dalam tempoh tanpa sebarang pembangunan.

“PKNM perlu kenal pasti tanah-tanah kosong untuk dibangunkan demi memberi peluang baik kepada rakyat. PKNM mempunyai 188 lot tanah dengan keluasan hampir 300 hektar membabitkan usaha sama, sewa, pajakan, perumahan dan pertanian.

“Daripada jumlah ini, sebanyak 156 lot atau 64.5 peratus masih kosong atau belum dibangunkan sementara 29 lot tanah disewa dan tiga lot dipajak. Ada antara lot-lot tanah ini sudah menjadi hak milik PKNM sejak 50 tahun lalu,” katanya ketika sesi perbahasan Rang Undang-undang (RUU) Enakmen Perbadanan Kemajuan Negeri Melaka pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka di Seri Negeri di sini, hari ini.

Terdahulu, Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali ketika membentangkan usul RUU itu mencadangkan lapan fasal dipinda 

Sulaiman dalam pembentangannya berkata, ia bertujuan memperkasa PKNM di samping penjenamaan semula yang secara komersialnya dikenali sebagai MCorp.

Dalam pada itu, Chee Leong turut mempersoalkan peranan PKNM selepas RUU tersebut diluluskan berikutan pindaan Seksyen 14, memasukkan perkataan selepas perlombongan yang memasukkan sekali perkataan perairan, perkapalan, minyak dan gas, tenaga, penyelidikan, pembangunan serta teknologi maklumat.

Katanya, tindakan memasukkan perkataan itu seolah-olah menunjukkan PKNM mahu menceburi pelbagai bidang.

“Tidakkan ia akan bercanggah dengan peranan GLC lain? Di Melaka sahaja sudah ada hampir 80 GLC,” ujarnya.

RUU tersebut diluluskan dengan 19 undi menyokong, tujuh menolak dan dua tidak hadir. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN