Influenza: Wad kanak-kanak di Johor semakin sesak

Influenza: Wad kanak-kanak di Johor sesak

LING Tian Soon (dua dari kiri) meninjau persekitaran HSA ketika mengadakan lawatan kerja di HSA, Johor Bahru, hari ini. - FOTO/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Wad kanak-kanak di hospital awam di Johor mengalami kesesakan susulan peningkatan kes influenza (ILI) dan jangkitan saluran pernafasan atas (URTI) dalam kalangan kanak-kanak.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan negeri, Ling Tian Soon berkata, kesesakan itu juga dipengaruhi peningkatan lima peratus kadar kes ILI dan URTI dalam kalangan kanak-kanak yang memerlukan rawatan susulan.

Namun, kadar penggunaan katil di semua wad hospital awam di negeri ini masih terkawal walaupun kadar penggunaan meningkat menjadi 76 peratus ketika ini. 

“Kadar penggunaan katil itu mencatatkan peningkatan empat peratus berbanding 72 peratus di semua wad hospital awam negeri ini pada minggu sebelumnya.

“Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) sedang mengumpulkan data terbaharu situasi terkini di wad kanak-kanak negeri ini,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat dengan Jabatan Kesihatan Negeri Johor dan Pengurusan Hospital Sultanah Aminah (HSA), di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur negeri, Mohamad Fazli Mohamad Salleh dan Pengarah Kesihatan Johor,  Datuk Dr. Aman Rabu. 

Tian Soon berkata, kapasiti katil di semua hospital di negeri ini termasuk wad Unit Rawatan Rapi (ICU) adalah sebanyak 5,307 katil. 

JKNJ akan mengambil langkah berjaga-jaga susulan peningkatan kadar penggunaan katil di hospital awam negeri ini bagi membolehkan persediaan dilakukan jika gelombang baharu Covid-19 berlaku. 

“Kita sudah mempunyai pengalaman menangani peningkatan kadar penggunaan katil ketika pandemik memuncak tahun lalu dan akan mengambil tindakan proaktif sekiranya keadaan mendesak,” katanya. 

Mengulas lanjut, Tian Soon berkata, jumlah kes baharu Covid-19 yang dilaporkan di negeri ini antara 10 Julai hingga Sabtu lalu adalah sebanyak 542 kes, peningkatan sebanyak 5.7 peratus berbanding minggu sebelumnya, iaitu 511 kes. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN