KOTA BHARU: Kadar inflasi di negara ini masih terendah di Asia Tenggara selepas kerajaan berterusan menangani kenaikan harga barangan menerusi peruntukan subsidi berjumlah RM77 bilion.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan sentiasa mendengar dan menyelami keluhan Keluarga Malaysia tentang kenaikan harga barang khususnya membabitkan bahan makanan.
Katanya, sebanyak RM1.1 bilion dibelanjakan untuk subsidi ayam dan telur serta RM4 bilion untuk minyak masak peket.
“Pemberian subsidi ini menyebabkan inflasi kita kekal rendah, mungkin paling rendah di Asia Tenggara dan mungkin juga di seluruh dunia. Inflasi negara kekal pada 2.8 peratus.
“Jika subsidi tidak diberikan, inflasi negara mungkin meningkat kepada lapan hingga 11 peratus,” katanya ketika berucap merasmikan Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia di pekarangan Stadium Sultan Muhammad IV, di sini hari ini.
Yang hadir sama Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob dan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa.
Ismail berkata, peningkatan harga jagung bijiran, baja dan kenaikan kos logistik turut mempengaruhi kenaikan harga barangan sekali gus menyaksikan kadar inflasi meningkat tinggi.
Katanya, ketidaktentuan ekonomi global, krisis geopolitik selain perubahan iklim dunia memberi impak dan cabaran kepada kos sara hidup Keluarga Malaysia. – UTUSAN










