PETALING JAYA : Hubungan dua hala antara Amerika Syarikat (AS) dan China serta Asia Tenggara harus dipelihara dan diperkukuh berdasarkan kepada pematuhan undang-undang antarabangsa yang telah lama wujud.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kepentingan China tidak boleh dinafikan apabila negara itu sejak 2009 kekal menjadi rakan dagang utama ASEAN manakala pada 2020 pula rantau ini mengatasi Kesatuan Eropah sebagai rakan dagang utama China.
Justeru katanya, ASEAN berharap dapat mengekalkan hubungan yang positif dan stabil dengan Beijing dengan melihat kepada ekonomi dan kedudukan strategik China.
“Dalam masa sama, ASEAN juga harus terus memperkemaskan hubungan ekonomi dan diplomatik dengan Amerika Syarikat berdasarkan rasa saling hormat-menghormati dan semangat setia kawan yang tinggi.
“Amerika Syarikat, China dan Asia Tenggara harus memastikan semangat yang mengikat hubungan dua hala dan pelbagai hala dipelihara dan diperkukuhkan, berdasarkan kepada pematuhan undang-undang antarabangsa yang telah lama wujud,” katanya dalam ucapan Persidangan Meja Bulat Asia Pasifik hari ini.
Ismail Sabri menambah, ketika persaingan antara kuasa-kuasa besar dunia menghasilkan cabaran yang tersendiri kepada rantau ini, perkara itu tidak seharusnya memudaratkan.
Kata Perdana Menteri, libat urus secara proaktif bersama kuasa-kuasa besar akan memberikan manfaat kepada rantau ini dengan syarat rantau ini mampu melakukannya.
“Dalam situasi sebegini, rantau ASEAN seharusnya bersedia menghadapi persaingan kuasa-kuasa besar dengan bijak,” jelasnya.
Pada masa sama, Ismail Sabri memberitahu, ASEAN hendak sentiasa berpegang teguh dengan prinsip asas mengutamakan Kepaksian ASEAN dalam menghadapi cabaran lalu dan mendatang iaitu saling bekerjasama dan menghormati kedaulatan negara serta semangat membimbing negara anggota ke arah keamanan dan kemakmuran serantau.
“Sehubungan itu, ASEAN muncul sebagai gagasan yang dihormati dan dipercayai bagi mekanisme pelbagai hala serantau. Namun begitu, kepaksian rantau ini akan terus diuji dengan tekanan dalaman dan luaran.
“Untuk itu, ASEAN juga memerlukan kombinasi mekanisme-mekanisme berbentuk dua hala, pelbagai hala dan bahkan minilateral dan juga kreativiti dan sokongan badan-badan bukan kerajaan untuk berjaya,” katanya.
Sementara itu, Perdana Menteri menyarankan komuniti antarabangsa bekerjasama dengan semangat keluarga dunia dan tidak bergerak solo kerana pandemik Covid-19 selama ini telah mengajar masing-masing bahawa cabaran global tidak boleh diatasi secara bersendirian. –UTUSAN










