HDC sasar 50,000 syarikat memiliki sijil halal menjelang 2030

HDC sasar 50,000 syarikat memiliki sijil halal menjelang 2030

NOROLAZALI Sulaiman (depan, kanan) diiringi Hairol Ariffein Sahari melawat gerai pameran di program Jelajah Halal Malaysia 2022 peringkat negeri Pahang di Hotel Grand Darul Makmur di Kuantan, Pahang. - UTUSAN/ DIANA SURYA ABD WAHAB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Halal Development Corporation Berhad (HDC) menyasarkan hingga 50,000 syarikat di negara ini memiliki sijil halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menjelang 2030.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Hairol Ariffein Sahari berkata, jumlah pemilikan sijil halal dalam kalangan usahawan industri kecil dan sederhana (IKS)  masih rendah, sekali gus menyukarkan usaha merebut peluang pasaran di luar negara. 

Menurutnya, Malaysia merekodkan terdapat kira-kira 1.3 juta syarikat yang berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan terdapat 200,000 syarikat perniagaan yang berkaitan halal namun kurang daripada 10 peratus syarikat yang mempunyai sijil tersebut.

“Buat setakat ini, jumlah (syarikat) yang memiliki sijil halal masih rendah, iaitu kurang daripada 10,000 buah syarikat di seluruh negara.

“Lebih menyukarkan lagi, daripada 10,000 yang mempunyai sijil halal, hanya 3,000 saja yang mempunyai kemampuan menghasilkan produk untuk tujuan eksport,” katanya dalam sidang akhbar di program Jelajah Halal Malaysia 2022 peringkat negeri Pahang di sini hari ini.

Program tersebut dirasmikan Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan negeri, Datuk Seri Norolazali Sulaiman. 

Ketika ditanya punca masih banyak IKS tidak memperoleh sijil halal, Hairol Ariffein berkata, kebanyakan usahawan berpendapat untuk mendapatkan sijil halal memerlukan kos yang tinggi. 

“Bagi mendapatkan sijil halal bagi IKS hanya perlu membayar sekitar RM400 hingga RM500 sahaja kepada pihak Jakim tetapi kos untuk mematuhi persijilan halal itu agak tinggi kerana perlu mematuhi kelayakan mendapat sijil berkenaan.

“Mereka perlu melakukan penambahbaikan taraf kilang dan peralatan seperti contoh membaiki mesin rosak bagi mematuhi standard ditetapkan Jakim.

“Dengan itu, sijil halal dikeluarkan Jakim diiktiraf di peringkat global kerana prosesnya sangat ketat dan diyakini oleh negara luar,” katanya. 

Sementara itu, beliau menambah, terdapat cabaran yang besar dalam konteks ‘halal’ iaitu dari segi mendapatkan bahan ramuan yang ada sijil halal mencukupi bagi tujuan pengeluaran dan perkhidmatan. 

“Standard halal yang telah kita tetapkan juga adalah jelas bahawa bahan ramuan yang dimasukkan ke dalam kilang mesti mempunyai sijil halal daripada Jakim atau badan-badan yang turun mempunyai sijil halal Jakim.

“Dengan itu, kami (HDC) melalui halal integrated platform akan melancarkan satu database berkaitan kandungan halal yang mana semua pengeluar atau yang berminat mengeluarkan produk halal ini boleh mendapatkan maklumat tersebut.

“Sekiranya di peringkat awal mereka bersedia dan ingin berkongsi dengan kami berkenaan keperluan barangan yang diperlukan, kita boleh buat penyusunan semula perniagaan mereka sebelum memohon sijil halal dengan mengemaskini bahan termasuk sumber ramuan diperlukan,” katanya.-UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN