Harga ayam, roti canai, nasi berlauk antara punca inflasi meningkat

Harga ayam, roti canai, nasi berlauk antara punca inflasi meningkat

Kerajaan diminta memudahkan penubuhan lembaga unggas untuk menyelia bekalan ayam dan telur negara. – UTUSAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Ayam, roti canai dan nasi berlauk merupakan antara komponen makanan yang melonjakkan kadar inflasi negara kepada 3.4 peratus pada Jun lalu, daripada 2.8 peratus bulan sebelumnya.

Menurut Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin, ayam yang mempunyai wajaran terbesar dalam subkumpulan daging sebanyak 46.1 peratus, meningkat 17.2 peratus berbanding peningkatan 13.4 peratus pada Mei 2022.

“Purata harga ayam mentah pada Jun 2022 adalah sebanyak RM10.02 sekilogram berbanding RM8.55 pada Jun 2021.

“Peningkatan harga ayam ini selari dengan kenaikan input pengeluaran makanan dunia seperti jagung (14.8 peratus), gandum (60.9 peratus) dan kacang soya (19.9 peratus) yang menjadi komposisi terbesar penyediaan dedak ayam,” katanya dalam kenyataan mengumumkan Indeks Harga Pengguna (IHP) negara bagi Jun 2022.

Mohd. Uzir berkata, indeks makanan yang meningkat sebanyak 6.1 peratus, kekal menjadi penyumbang utama kenaikan inflasi pada bulan dilaporkan.

Kata beliau, semua kumpulan lain kecuali komunikasi turut merekodkan peningkatan dan mendorong kepada inflasi ke­seluruhan kepada 3.4 peratus.

“Pengangkutan meningkat 5.4 peratus diikuti oleh restoran & hotel (5.0 peratus), hiasan, perkakasan & penyelenggaraan isi rumah (3.4 peratus), pelbagai barangan & perkhidmatan (2.2 peratus) dan perkhidmatan rekreasi & kebudayaan (2.2 peratus).

“Pada Jun 2022, kesemua subkumpulan bagi makanan & minuman bukan alkohol menunjukkan peningkatan antara 2.8 peratus hingga 11.9 peratus,” katanya.

Sementara itu katanya, komponen makanan di rumah dan makanan di luar rumah masing-masing meningkat 6.1 peratus dan 6.6 peratus, mendorong kepada kenaikan inflasi makanan.

Ujarnya, antara makanan di luar rumah yang menunjukkan kenaikan adalah roti canai (10.5 peratus), nasi berlauk (9.7 peratus), masakan daging (7.8 peratus) dan makanan berasaskan mi (7.0 peratus).

Mengulas lanjut, Mohd. Uzir berkata, peningkatan dalam kumpulan pengangkutan pula disebabkan terutama oleh pe­ningkatan purata harga petrol tanpa plumbum RON97 seba­nyak 80 peratus (RM4.77 seliter) berbanding RM2.65 pada bulan sama tahun sebelumnya.

Jelasnya, kenaikan harga minyak itu adalah kesan daripada peningkatan harga minyak mentah Brent (64.3 peratus) kepada AS$120.08 (RM543.05) setong pada Jun 2022.

Inflasi bagi suku tahun kedua 2022 meningkat 2.8 peratus berbanding suku sama tahun sebelumnya.

Inflasi bagi tempoh Januari hingga Jun 2022 pula meningkat 2.5 peratus berbanding tempoh sama tahun sebelumnya. Bagi perbandingan bulanan, inflasi meningkat 0.6 peratus berban­ding Mei 2022.

“Perbandingan dengan negara-negara terpilih di rantau Asia Pasifik, kadar inflasi di Malaysia (3.4 peratus) adalah lebih tinggi berbanding China (2.5 peratus), namun lebih rendah daripada Thailand (7.7 peratus), Filipina (6.1 peratus), Korea (6.0 peratus) dan Indonesia (4.4 peratus),” katanya.

Kerajaan sebelum ini memutuskan tidak mengapungkan harga ayam sebaliknya meneruskan pemberian subsidi ayam dengan menetapkan harga siling runcit ayam standard pada RM9.40 sekilogram bagi Semenanjung Malaysia berkuat kuasa 1 Julai lalu.

Pada masa sama, harga siling runcit telur ayam turut ditetapkan pada kadar 0.45 sen/biji bagi gred A, gred B (0.43 sen/biji) dan gred C (0.41 sen/biji) Menerusi pelaksanaan subsidi itu, kerajaan memperuntukan sebanyak RM369.5 juta, menjadikan jumlah keseluruhan subsidi sebanyak RM1.1 bi­lion sejak 5 Februari lalu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN