Bekas pegawai MPS didakwa terima rasuah urusan permohonan lesen perniagaan

Bekas pegawai MPS didakwa terima rasuah urusan permohonan lesen perniagaan

KOMPLEKS MAHKAMAH KUALA LUMPUR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Seorang bekas pegawai Majlis Perbandaran Selayang (MPS) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan memperoleh suapan berhubung urusan permohonan lesen perniagaan sebuah restoran di MPS, lima tahun lalu.

Tertuduh, Muhammad Darwisy Abdullah, 32, membuat pengakuan itu selepas petuduhan dibacakan di hadapan Hakim Rosli Ahmad.

Mengikut pertuduhan, Darwisy yang ketika itu bertugas sebagai Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran didakwa telah memperoleh RM1,000 daripada seorang lelaki melalui akaun banknya sebagai dorongan memudahkan urusan permohonan lesen perniagaan Restoran Tong Yang Kip di Maybank Islamic Berhad Jalan Maarof pada 12 Mac 2021.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Muhammad Arif Asyraf Mohd Khairi menawarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan menyerahkan pasport kepada mahkamah, melaporkan diri ke pejabat SPRM sebulan sekali serta tidak mengganggu saksi pendakwaan.

Bagaimanapun, peguam bela, Zolazrai Zolkapli yang mewakili tertuduh memohon jaminan lebih rendah atas alasan anak guamnya menanggung ibu bapa dan tiga orang anak selain merupakan pesalah kali pertama.

Mendengar kedua hujahan, mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan seperti dipohon pihak pendakwaan dan menetapkan 1 September depan untuk sebutan semula kes.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN